UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimennya yang ambil keputusan untuk menyokong Anwar Ibrahim membentuk kerajaan baharu, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno dan pengerusi BN itu berkata beliau maklum usaha Anwar akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan hasrat membentuk kerajaan menggantikan Perikatan Nasional (PN).
“Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli Parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian ahli-ahli Parlimen berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zahid, umum mengetahui Umno dan BN bukan parti komponen PN.
“Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari ahli-ahli Parlimen sahaja,” jelasnya.
Terdahulu hari ini, Anwar mendakwa beliau mendapat sokongan kukuh daripada majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan apabila diasak oleh pemberita pada sidang media di Le Meridien Hotel in Kuala Lumpur hari ini.
Anwar berkata beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.
Katanya, butiran lanjut mengenai jumlah sokongan akan didedahkan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Sejurus pengumuman tersebut, Amanah dan DAP mengeluarkan kenyataan menyokong presiden PKR itu.
Anwar juga berkata buat masa ini Dr Mahathir dan partinya Pejuang belum menunjukkan sebarang sokongan kepadanya. – 23 September, 2020.
Komen