98% permohonan lanjut moratorium lulus, kata PM


Kerajaan hari ini umum beberapa inisiatif dan bantuan tambahan di bawah pakej Kita Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion seiring usaha memulihkan ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

SEJUMLAH 98 peratus permohonan moratorium lanjutan dan bantuan bank secara bersasar telah diluluskan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Pada Julai yang lalu, saya telah mengumumkan moratorium lanjutan dan bantuan bank secara bersasar.

“Sehingga 11 September, institusi perbankan telah berbincang dengan lebih 1.4 juta peminjam, dan lebih 380,000 peminjam telah mengesahkan yang mereka benar-benar memerlukan bantuan ini,” katanya dalam pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan terkini dan akan memastikan institusi perbankan memainkan peranan untuk membantu rakyat dan perniagaan yang benar-benar memerlukan dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini.

“Saya menyeru orang ramai yang masih belum memohon untuk segera menghubungi institusi perbankan masing-masing untuk membuat permohonan,” katanya. 

Bagi mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang terkesan oleh penularan Covid-19, kerajaan telah mengumumkan untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman termasuk gadai janji dan sewa beli untuk tempoh enam bulan.

Program moratorium automatik ini bakal berakhir hujung September.

Kerajaan hari ini mengumumkan beberapa inisiatif dan bantuan tambahan di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion seiring usaha memulihkan ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat.  – Bernama, 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen