Penduduk Sabah dalam kuarantin boleh mengundi, kata menteri


Aminah Farid

Saluran khas untuk pengundi tidak sihat, bergejala dan dalam kuarantin akan disediakan pada PRN Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 22 September, 2020.

PENGUNDI Sabah yang sedang menjalani kuarantin atau menunjukkan gejala dikaitkan dengan Covid-19 seperti demam dan selsema dibenarkan mengundi, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, pesakit sah Covid-19 tidak dibenarkan mengundi, katanya lagi.

Jelasnya keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, semalam.

“Pesakit Covid-19 di hospital tidak akan dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Sabah kerana kita bimbang mereka mungkin menyebarkan virus itu,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kata Ismail Sabri lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mewujudkan saluran pengundian khas untuk mereka yang tidak sihat dan bergejala.

“Mereka yang di bawah kuarantin perlu memohon kebenaran Pejabat Kesihatan Daerah, supaya pengurusan dengan pusat pengundian dapat dibuat dan membawa mereka (pengundi) untuk mengundi.”

“Mereka dalam kuarantin juga tidak dibenarkan keluar dan mengundi sesuka mereka, kerana ada langkah dan protokol ditetapkan Kementerian Kesihatan dan SPR untuk kumpulan ini,” tambahnya.

Ismail Sabri juga membangkitkan isu aktiviti kempen dari rumah ke rumah pada PRN itu yang hanya dihadkan kepada dua peraih undi setiap rumah bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Manakala pada sesi ceramah pula, SPR menasihatkan setiap sesi dihadkan kepada hanya 30 orang hadirin.

Awal hari ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata 270 anggota polis di Sabah tidak terlibat dalam pengundian awal hari ini kerana sedang dikuarantin.

16,877 orang layak mengundi awal dan setakat 2 petang tadi, 69% sudah turun membuang undi. Pengundian awal ditutup jam 5 petang ini.

Ismail Sabri juga menjelaskan mereka yang pulang dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin wajin 14 hari, tetapi, mereka yang bergejala dikaitkan dengan Covid-19 perlu melakukan ujian swab.

MKN juga memutuskan semua tempat sukan boleh melanjutkan tempoh operasi sehingga jam 2 pagi.

“Ini berlaku selepas ada rungutan pemilik tempat yang pemain datang main futsal atau sukan lain melebihi tengah malam berdasarkan jumlah jam yang ditempah dan dibayar mereka,” katanya. – 22 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen