Bagaimana nak masuk syurga?


Fa Abdul

AKU sibuk menekan punat ‘remote control’ beberapa malam yang lalu sambil mencari rangkaian televisyen yang menyiarkan rancangan yang berbaloi ditonton.

Rata-rata program yang disajikan, kalau bukan siaran ulangan keseribu kali, adalah rancangan berbentuk ‘talk show’ mengenai dunia perniagaan (yang memang tak aku minati) ataupun drama-drama Melayu yang slow seslow-slownya (yang mana pada firasat aku, boleh menyebabkan otak aku turut menjadi slow).

Tapi nasib baik, dalam pada aku bertukar-tukar rangkaian, mataku mula menjamah sebuah rancangan berunsur agama yang disiarkan menerusi sebuah stesen TV swasta.

Rancangan tersebut berkonsepkan kuliah interaktif di mana ustaz yang mengendalikannya membincangkan dan menjawab persoalan serta kemusykilan agama di hadapan para penonton di dalam studio.

Memandangkan aku sudah tiada program lain untuk ditonton, tambahan pula tergerak hati aku untuk menimba ilmu agama pada malam itu, maka aku pun mengambil keputusan menonton sahaja rancangan tersebut.

Program agama tersebut bermula dengan agak baik, ustaz yang mengendalikannya berkongsi sedikit nasihat dan tips menjadi umat Islam yang baik dan soleh. Ini diikuti dengan sessi interaktif bersama penonton di studio di mana penonton dijemput untuk bertanya perihal kemusykilan agama.

Seorang wanita yang hampir mencecah umur 50-an merupakan penonton studio pertama yang bertanya soalan.

“Ustaz, saya seorang ibu dan juga seorang isteri. Saya nak tahu, bagaimana caranya untuk saya masuk syurga?”

Aku menggeleng kepala tanpa sedar.

“Seorang ibu yang mahu masuk syurga haruslah menjadi anak yang taat dan soleh kepada ibunya sendiri. Dan seorang ibu yang mahu masuk syurga perlu menunaikan tanggungjawabnya pada keluarga dan anak-anak. Dia harus mentaati suami dan menjaga nama baik suaminya. Di samping itu, solat lima waktu jangan ditinggal,” jawab ustaz.

Tiba giliran penonton di luar studio pula untuk bertanyakan soalan, lalu skrin di pentas memaparkan wajah seorang gadis di dalam lingkungan 20-an.

Gadis tersebut bertanya, “Assalamualaikum. Soalan saya, sebagai seorang anak, bagaimana nak menjamin syurga?”

Ternganga aku mendengar soalan yang dilemparkan itu.

Sambil gayanya yang rileks, ustaz tersebut menjawab, “Jadilah anak yang solehah. Dengar cakap dan nasihat ibubapa. Bantu mereka selagi yang terdaya. Jaga nama baik keluarga. Dan jangan lupa solat lima waktu.”

Aku menghela nafas. Menyirap darah aku mengadap kaca televisyen ketika itu. Rasa senak pun ada, loya pun ada.

Sebelum ustaz membuka ruang untuk menerima soalan seterusnya, aku segera menutup televisyen.

Bukannya apa, termasuk kali ini, dah jenuh aku mendengar persoalan yang sama berulang-ulang kali – di televisyen, corong radio, suratkhabar dan blog.

“Bagaimana nak masuk syurga?”

“Apa syarat nak ke syurga?”

“Siapa yang layak mendapat syurga?

Syurga, syurga, syurga. Mengapa ya, kita asyik sibuk nak masuk syurga?

Tak ada ke perkara lain yang nak ditanya atau nak dibawa berbincang melainkan pasal nak masuk syurga?

Geram. Aku memang geram.

Aku akui, ilmu agama di dada aku tak la setebal mana. Tapi berbekalkan ilmu agama yang aku timba selama sebelas tahun belajar Pendidikan Agama Islam di sekolah, aku tahu ada satu sahaja jalan untuk ke syurga – dengan menjadi seorang Muslimin yang baik.

Sesungguhnya, untuk menjadi seorang Muslimin yang baik, merangkumi segala perincian keperibadian kita – daripada niat, tingkah laku, layanan kita terhadap orang lain dan juga reaksi kita terhadap perkara-perkara yang berlaku di sekeliling.

Menjadi seorang Muslimin yang baik bukan setakat menunaikan solat lima waktu atau taat terhadap ibu bapa dan suami/isteri semata-mata. Menunaikan Haji, berpuasa dan berzakat juga belum tentu menjadikan kita Muslimin yang baik.

Bagi aku, untuk menjadi Muslimin yang baik, kita harus berani mempertahankan kebenaran; kita harus melayan ahli masyarakat dengan baik, walaupun mereka berbeza agama, bangsa dan budaya; kita harus menghormati orang yang layak dihormati dan kita harus menegah orang yang membawa pertelagahan.

Untuk menjadi Muslimin yang baik, kita harus menyokong kepimpinan yang adil; kita tidak harus mendukung kepimpinan yang membawa kehancuran; kita harus bijak menimba ilmu dan bijak berfikir; serta menafikan cubaan sesiapa untuk memperkudakan diri kita.

Sayangnya, saudara kita yang asyik bertanya cara hendak masuk syurga, hanya mengharapkan jawapan yang mudah. Mereka fikir, cara nak masuk syurga itu sama seperti cara hendak memasak mi segera.

Walaupun balasan syurga itu adalah hak Allah dan hanya Dia yang menentukan siapa yang layak bergelar ahli syurga dan siapa yang tidak, usahlah asyik obses dengan syurga sahaja sehingga lalai menjadi seorang manusia dan seorang Muslimin yang baik.

Sudahlah. Aku harap selepas ini takkan ramai lagi yang akan merugikan peluang bertanya kemusykilan agama dengan persoalan mengenai ‘highway’ ke syurga. Sebaliknya, gunakanlah peluang keemasan itu untuk bertanya soalan-soalan yang benar-benar bernas dan mencerminkan diri kita sebagai Muslimin yang jitu.

Di sini aku sertakan beberapa contoh soalan yang boleh kita tujukan kepada cerdik-pandai agama di masa hadapan:

  1.  Jika seorang pemimpin yang korup enggan melepaskan kuasa, mengikut Islam apakah tanggungjawab rakyat?
  2.  Jika rakyat berterusan memilih pemimpin yang korup secara rela hati demi mempertahankan hak istimewa, apakah hukumnya?
  3.  Apakah hukum seorang ahli agama yang bertindak memecah-belahkan rakyat berbeza bangsa melalui ceramah bertempat di rumah Allah sedangkan Islam itu sendiri menekankan soal perpaduan? Apakah tanggungjawab sorang Muslimin apabila berhadapan dengan ahli agama yang sedemikin?
  4.  Jika wang zakat adalah hanya untuk kegunaan umat Islam, mengapa wang cukai yang dikumpulkan hasil usaha golongan bukan Islam juga diguna pakai oleh umat Islam? Bukankah Islam itu menekan soal keadilan dan kesaksamaan?

Semoga dengan contoh-contoh yang diberi, Muslimin akan lebih bijak berfikir sebelum bertanya soalan agama. Dan media-media pula akan mula memperbincangkan persoalan agama yang lebih membina daya pemikiran pembaca dan penonton.

Insya Allah. – 14 Disember, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • GOOD ARTICLE, FA!

    A cerebral wasteland we have become.

    There is a wise quote: " The world can't give you what it doesn't have : HAPPINESS!"

    The mad rush to syurga can only mean people as a whole desire happiness, joy...a permanent state of ecstasy. No?

    Don't you get that in peaceful 'nothingness' of sleep divested of 'Me, the person and my petty worldly problems'?

    Most people think they can derive that happiness from the objects of the world, perceived through sensation, through thought conception and perception..but those are only external triggers that excite something within your awareness(knowing) or beingness. Without that ability of sense-perception, what validates 'happiness'?

    Find out the source of that which illuminates all feelings of happiness. Isn't it you?...find that 'illuminating' substratum that is inherent and common to all sentient beings. You will find your God essence there, your true position.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Arun Paul · Ulasan