Anwar yakin boleh jadi PM selepas PRU15


Chan Kok Leong

Beliau beri pandangan, kita dengar pandangan, tak ada masalah. Jawapan saya, saya boleh, InsyaAllah, kata Anwar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2020.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim mendakwa masih mampu mendapatkan sokongan cukup untuk menjadi perdana menteri, langsung menjawab Lim Guan Eng yang berkata DAP mungkin mengangkat Shafie Apdal sebagai calon yang layak.

“Beliau (Lim Guan Eng) beri pandangan, kita dengar pandangan, tak ada masalah. Jawapan saya, saya boleh, InsyaAllah,” kata Anwar di Api-Api hari ini.

Anwar mengulas kenyataan Lim semalam bahawa DAP akan menyokong Anwar dan Shafie sebagai calon perdana menteri dalam pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, Anwar adalah pilihan pertamanya tetapi menambah presiden PKR itu harus memberi jalan kepada Shafie jika mendapat lebih banyak sokongan.

“Kami menyokong Anwar untuk mendapat jumlah itu, tetapi jika beliau tidak mampu, kami perlu memberi Shafie peluang dan penghormatan sewajarnya kepada PM pertama dari Malaysia Timur,” kata anggota Parlimen Bagan itu.

Anwar berkata demikian ketika membantu kempen ketua PKR Sabah Christina Liew yang mempertahankan kerusi DUN Api-Api dalam kempen pilihan raya negeri Sabah yang sedang berlangsung.

Sementara itu, Anwar bersetuju dengan Shafie bahawa harus ada SOP untuk membolehkan pesakit Covid-19 mengundi pada 26 September ini.

“Ya, saya setuju harus ada SOP untuk pengundi Covid-19 untuk mengundi,” kata Anwar.

Jumaat lalu, Shafie menyarankan kerajaan menyediakan SOP bagi mereka yang didapati positif virus untuk mengundi pada PRN Sabah nanti.

Ketua Menteri sementara itu berkata, barisan asing haruslah disediakan untuk pesakit Covid-19. – 20 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen