ANWAR Ibrahim atau Mohd Shafie Apdal menjadi pilihan sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali menguasai kerajaan persekutuan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Bercakap kepada Free Malaysia Today dalam satu wawancara, bekas menteri kewangan itu bagaimanapun berkata, Anwar adalah pilihan pertamanya tetapi menambah presiden PKR itu harus memberi jalan kepada Shafie jika mendapat lebih banyak sokongan.
“Kami menyokong Anwar untuk mendapat jumlah itu, tetapi jika beliau tidak mampu, kami perlu memberi Shafie peluang dan penghormatan sewajarnya kepada PM pertama dari Malaysia Timur,” katanya seperti dipetik portal berita itu.
Lim menegaskan ahli Parlimen daripada gabungan itu yakin akan kemampuan seorang daripada calon untuk mendapat sokongan bagi membentuk kerajaan.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata beliau dan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang mencadangkan pemilihan Anwar-atau-Shafie pada Julai untuk menyelesaikan kebuntuan antara bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar.
Beliau berkata ia hanya akan berjaya sekiranya semua ahli Parlimen PH menyokong rancangan itu.
Lim berkata beberapa ahli Parlimen tidak bersetuju dengan cadangan itu, dengan mengatakan PH harus mengikut rancangan yang dibuat sebelum pilihan raya umum 2018, yang menamakan Dr Mahathir untuk memimpin dan kemudian Anwar untuk mengambil alih.
Dr Mahathir menjadi perdana menteri ke-7 susulan kemenangan PH pada pilihan raya umum lalu. Sebagaimana dipersetujui oleh PKR, DAP, Amanah dan Bersatu, Dr Mahathir akan digantikan oleh Anwar dalam masa dua tahun.
Namun, peralihan kuasa menjadi topik hangat bagi penyokong PKR dan Anwar, yang terus mempersoalkan Bersatu dan Dr Mahathir yang berusia 95 tahun mengenai bila ia akan dilaksanakan.
Dr Mahathir sebelum itu berkata akan menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada akhir tahun ini.
Bekas perdana menteri itu dituduh cuba menangguhkan peralihan kuasa dan digambarkan sebagai cuba memungkiri janjinya kepada bekas timbalannya.
Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Februari, hari yang sama ketika Bersatu memutuskan untuk keluar daripada PH, yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH.
Pada mulanya, Umno dan PAS memberikan sokongan mereka kepada Dr Mahathir untuk terus memimpin negara ini.
Namun, kedua-dua pihak memutuskan untuk menyokong Muhyiddin selepas Dr Mahathir enggan bekerjasama dengan beberapa ahli Umno yang berdepan tuduhan rasuah.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas Dr Mahathir dan Anwar gagal memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, berapa banyak sokongan yang mereka perolehi daripada 222 ahli Parlimen.
PH kini terdiri daripada DAP yang memiliki 42 kerusi, PKR (37) dan Amanah (11). Warisan mempunyai 10 ahli Parlimen bersama Upko. – 19 September, 2020.
Komen