Biar Muhyiddin putuskan KM Sabah selepas PRN selesai, kata Tuan Ibrahim


Chan Kok Leong

Sebahagian penyokong yang hadir pada ceramah Barisan Nasional untuk kerusi DUN Tg Keramat di Putatan malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 15 September, 2020.

BIARKAN Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memutuskan sama ada Hajiji Mohd Noor atau Bung Moktar Radin yang akan memimpin Sabah selepas pilihan raya negeri, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Mari kita tunggu selepas pilihan raya. PAS akan serahkan kepada perdana menteri untuk putuskannya,” katanya kepada wartawan di Putatan malam ini.

Tuan Ibrahim yang merupakan Menteri Alam Sekitar dan Air bercakap pada ceramah Barisan Nasional untuk kerusi DUN Tg Keramat di Putatan.

Selain calon, Shahelmey Yahya, turut hadir ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

PAS, Umno dan Bersatu adalah sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah, blok pesaing kepada Warisan Plus dalam PRN Sabah pada 26 September. 

PAS juga merupakan sebahagian daripada gabungan PN termasuk Bersatu yang mana Umno menolak untuk bergabung. PAS juga bekerjasama dengan Umno dalam pakatan Muafakat Nasional.

Parti Islam itu terperangkap di tengah-tengah apabila Muhyiddin menyatakan bahawa PN mahu Hajiji sebagai KM Sabah. Namun Umno dan BN mahu Bung Moktar memimpin negeri berkenaan.

PN hari ini berkata akan tetap mengemukakan Hajiji sebagai calon ketua menteri walaupun ada bantahan daripada sekutu politiknya Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali berkata pemilihan Hajiji kerana pengalaman lamanya di Dewan Undangan Negeri Sabah serta imejnya yang bersih.

Semasa ceramah malam tadi Tuan Ibrahim berkata PAS yang tidak bertanding dalam pilihan raya berkenaan akan menyokong semua calon sama ada dari PN mahupun BN.

“Kami ingin menyakinkan Umno bahawa semua pengundi PAS akan menyokong calon BN. Pada masa sama PAS juga akan menyokong semua calon PN,” katanya. – 15 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen