Hajiji calon ketua menteri Perikatan, kata Azmin


Sheridan Mahavera

Ketua Penerangan Perikatan Azmin Ali bersama calon DUN Sulaman Hajiji Mohd Noor ketika berkempen untuk Pilihan Raya Negeri Sabah di Tambalang. Sabah hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 September, 2020.

PERIKATAN Nasional tetap mengemukakan pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri walaupun ada bantahan daripada sekutu politiknya Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali berkata pemilihan Hajiji kerana pengalaman lamanya di Dewan Undangan Negeri Sabah serta imejnya yang bersih.

Hajiji adalah wakil rakyat tujuh penggal untuk Sulaman dan bekas veteran Umno Sabah.

“Kita ada seorang calon dengan rekod yang sangat bersih dan rekod perkhidmatan kepada rakyat yang lama.

“Kita berharap beliau akan dipertimbangkan sebagai calon ketua menteri,” kata Azmin kepada wartawan di Kampung Bolong di Tuaran.

Beliau ditemui selepas berkempen untuk Hajiji hari ini.

PN membentuk kerjasama longgar dengan BN Sabah dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk mengambil alih pentadbiran daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya atau Warisan Plus, dalam pilihan negeri pada 26 September ini.

Kerjasama itu dianggap rapuh oleh penganalisis politik dan Warisan Plus kerana gagal menamakan calon ketua menteri yang jelas, dan kerana itu dikatakan tidak cukup bersatu dan stabil untuk mentadbir negeri.

BN bagaimanapun berkata calon ketua menteri hanya akan dibincangkan selepas ia dan sekutunya dapat membentuk kerajaan negeri nanti.

Warisan Plus memajukan Mohd Shafie Apdal, yang juga presiden Warisan, untuk sekali lagi jadi ketua menteri.

Shafie adalah ketua menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14, yang kini memegang jawatan sementara selepas Dewan Undangan Negeri dibubar pada 30 Julai.

BN bertanding 41 kerusi sementara PN mencuba nasib di 29 kerusi. PBS pula meletakkan calon di 22 kerusi.

Tiga parti itu bagaimanapun bertembung antara satu sama lain di 17 kerusi, dengan 16 daripadanya melibatkan PBS.

Pilihan raya negeri kali ini mempertandingkan 73 kerusi, bertambah 13 kerusi susulan persempadanan semula yang diwartakan pada Julai 2019.

Semasa berkempen di Kampung Bolong, Azmin mengangkat kebaikan Hajiji yang dibandingkannya dengan Shafie.

Beliau menyebut antara sebab Hajiji tujuh kali menang pilihan raya di Sulaman kerana reputasi yang selalu sedia membantu rakyat.

“Rumahnya selalu terbuka kepada mereka yang mahukan bantuan. Beliau membantu tanpa mengira kaum, agama dan garis politik,” katanya.

Dalam ucapannya pula, Hajiji membentangkan pelannya untuk Sabah sekiranya terpilih jadi ketua menteri. Antaranya memodenkan sektor perikanan dan pertanian, meningkatkan pelancongan dan membawa lebih banyak kilang ke negeri itu.

Beliau juga mengkritik Shafie berhubung bantuan Covid-19. Beliau mendakwa bantuan hanya diberikan kepada mereka yang menyokong kerajaan Warisan Plus.

“Shafie cakap Sabah untuk orang Sabah tetapi sebenarnya Sabah untuk Semporna,” katanya, merujuk kawasan yang diwakili oleh Shafie.– 15 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen