BN bincang calon ketua menteri selepas jadi kerajaan, kata Zahid


Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin di Kinabatangan hari ini. – Gambar Facebook, 12 September, 2020.

CALON ketua menteri hanya dinamakan apabila Barisan Nasional (BN) dan sekutunya dapat membentuk kerajaan selepas pilihan raya negeri Sabah, yang ditetapkan pada 26 September ini, kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau membuat kenyataan itu selepas pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mencadangkan Ketua Bersatu Sabah Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri.

“BN memutuskan bahawa ketua menteri Sabah hanya akan dipilih oleh Adun BN dan rakan kongsi politik apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” tulis Zahid di Twitter.

Zahid berada di Kinabatangan mengiringi Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin yang bertanding di kerusi DUN Lamag dan dua lagi calon BN bagi kerusi Kuamut dan Sukau.

Umno sebelum ini membayangkan Bung Moktar sebagai calon ketua menteri.

Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Sufian Hamdan juga menulis di Facebook cadangan Muhyiddin itu tidak dibincang dengan BN.

Awal hari ini, Muhyiddin berkata Hajiji bakal ketua menteri Sabah sekiranya parti-parti lain dalam PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) setuju.

Muhyiddin juga mengumumkan kerjasama PN, BN dan PBS dalam pilihan raya negeri ini sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

“Mana nak tahu, kalau rakan-rakan kita di PN, BN pun bersetuju, yang terbaik nak kita tawarkan sebagai calon untuk memimpin negeri Sabah, tidak lain tidak ialah Hajiji.

“Ini juga memerlukan persetujuan dari sekutu Bersatu,” katanya dalam ucapan mengiringi Hajiji ke pusat penamaan calon di Tuaran.

 Dalam pilihan raya negeri Sabah, PN dibentuk bersama Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP), sementara BN terdiri daripada Umno, PBRS, MCA. 

PBS bersekutu dengan kedua-dua gabungan itu dan bertanding dengan logonya sendiri, yang kali terakhir dipakai dalam pilihan raya pada 1999.

Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal berkata tidak seperti kerjasama PN, BN dan Bersatu, pihaknya lebih menunjukkan kesepakatan apabila hanya mencadangkan seorang calon ketua menteri.

Shafie adalah ketua menteri sebelum DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai dan kini memegang jawatan sementara pilihan raya pada hujung bulan ini.

Hajiji adalah antara 19 calon Bersatu yang bertanding atas tiket PN bersama 8 calon Star dan 2 calon SAPP.

Hajiji juga adalah antara 6 calon yang dikekalkan bertanding kerusi Bersatu, ketika Umno sebelum ini dilaporkan menuntut kerusi yang mereka menangi atas tiket parti itu semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

Daripada lapan kerusi bekas wakil rakyatnya itu, Umno hanya bertanding semula di dua kerusi iaitu di Usukan dan Lumadan.

Hajiji dan gerombolan pemimpin Umno Sabah keluar parti pada Disember 2019 untuk menyertai Bersatu. – 12 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen