Perikatan, BN, PBS bertembung tanda tidak sepakat, kata penganalisis


Chan Kok Leong

"Pertembungan mesra" antara PN dan BN dengan sekutunya PBS dalam PRN Sabah mendedahkan hubungan kurang selesa antara mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 September, 2020.

BANYAK “pertembungan mesra” antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dengan sekutunya Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam pilihan raya negeri Sabah mendedahkan hubungan kurang selesa antara mereka, kata penganalisis.

Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya memberitahu The Malaysian Insight, walaupun PN menguasai Putrajaya, ia masih gabungan yang baharu dan belum menguasai politik dengan rakan kongsinya.

“Lebih-lebih lagi parti utama dalam Perikatan ialah Bersatu yang menjadi pesaing Umno dari Barisan Nasional.

“Pemimpin utama Perikatan juga gagal menguruskan hubungan ini,” kata pensyarah sains politik itu.

Banyaknya pertembungan sesama rakan sekutu itu juga kerana kepentingan setempat, kata Awang Azman yang berasal dari Sarawak.

“Semua orang percaya mereka boleh menang kerana ada kekuatan sendiri dan sokongan politik.

“Ini menjadikan pengagihan kerusi lebih rumit kerana Perikatan dan BN dilihat parti dari Semenanjung,” katanya.

Selepas penamaan calon ditutup pada Sabtu, PN, BN dan PBS bertembung di 17 kerusi.

Daripada 17 kerusi itu, PBB bertembung 16 kerusi iaitu masing-masing enam melawan Umno, lima menentang Star, tiga PBRS, dan dua MCA. Star dan PBRS berlaga di satu kerusi.

Bagaimanapun jumlah 17 kerusi itu bertambah satu kerusi lagi apabila Kenny Chua yang menyandang kerusi Inanam berkata beliau bertanding sebagai calon bebas dengan restu PN, melawan PBS.

Bekas timbalan pengerusi PKR Sabah Kenny Chua bertanding sebagai calon bebas menentang sekutunya Parti Bersatu Sabah (PBS) di Inanam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majis, 15 September, 2020.

PN terdiri daripada Bersatu, Star, SAPP dan PAS. Parti Islam itu bagaimanapun tidak bertanding dipercayai untuk mengelak kesan negatif dalam kalangan pengundi susulan kenyataan Ketua Dewan Ulama Nik Muhammad Zawawi Salleh yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh mengenai kitab Injil yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan penganut Kristian baru-baru ini.

BN pula dianggotai oleh Umno, MCA, PBRS, dan MIC. MIC juga tidak bertanding di Sabah kerana tidak berpengaruh di negeri itu.

Pada hari penamaan calon, Perdana Menteri yang juga pengerusi PN Muhyiddn Yassin berkata tiga parti itu akan membentuk kerajaan negeri atas nama Gabungan Rakyat Sabah sekiranya menang pilihan raya 26 September ini.

BN bertanding 41 kerusi sementara PN mencuba nasib di 29 kerusi. PBS pula meletakkan calon di 22 kerusi.

Pilihan raya negeri kali ini mempertandingkan 73 kerusi, bertambah 13 kerusi susulan persempadanan semula yang diwartakan pada Julai 2019.

Parti Warisan Sabah pula bergabung dengan Pakatan Harapan dan Upko atas nama Warisan Plus. 

Warisan bertanding 46 kerusi, DAP 7, PKR 7, Upko 12 dan Amanah satu kerusi. PKR dan Upko menggunakan lambangnya sendiri sementara DAP dan Amanah memakai logo kapal layar Warisan.

Isu negeri

Pertembungan tiga parti PN, BN, dan PBS juga menunjukkan persaingan antara kerana keadaan politik yang tidak menentu, kata seorang lagi penganalisis politik.

“Walaupun BN adalah sebahagian kerajaan PN di persekutuan, ia memilih tidak menyertai gabungan itu.

“Umno jelas dan tegas mahu mengukuhkan kerjasama dalam Muafakat Nasional bersama PAS dan bukannya menyertai gabungan yang diterajui Bersatu,” kata Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Katanya BN tiada pilihan selain menyokong Bersatu membentuk kerajaan PN untuk menyingkirkan Pakatan Harapan dari Putrajaya pada Februari lalu.

“Tetapi Umno dan Bersatu pokoknya adalah pesaing. Daripada sembilan kerusi Bersatu, lapan adalah kerusi Umno.

Menurut Mazlan, jurang antara tiga parti itu di Sabah lebih luas kerana PBS, sebagai parti tempatan, mahu ruang yang lebih untuk menentukan politik di negeri itu tanpa terikat dengan PN atau BN.

“PBS melibat isu Sabah dari perspektif yang berbeza dan tidak mahu sekutu mereka menang mudah dan kerana itu ada banyak kerusi yang bertembung,” kata pensyarah sains politik itu yang kini berada di Sabah untuk membuat kajian lapangan.

Dua calon ketua menteri Perikatan Nasional, Bung Moktar Radin (kiri) dan Hajiji Noor (kanan) salah satu contoh tidak sepakat Perikatan Nasional dan sekutu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2020.

Bung atau Hajiji?

Bekas timbalan menteri dalam negeri Azis Jamman percaya pertembungan antara PN, BN dan PBS menunjukkan rapuh kesatuan antara mereka.

“Ambil isu ketua menteri misalnya. Di sebelah kami hanya ada seorang calon ketua menteri iaitu Mohd Shafie Apdal.

“Tetapi mereka, BN mahu Bung Moktar Radin. PN pula mahu Hajiji Noor,” kata Ahli Parlimen Sepanggar pada The Malaysian Insight.

Ini menunjukkan Putrajaya masih cuba menentukan siapa yang mentadbir Sabah selepas pilihan raya walaupun menyerahkannya kepada 1.2 juta pengundi negeri.

Ditanya sama ada pertembungan yang banyak di semua kerusi melibatkan calon bebas dan parti lain bertujuan memecahkan undi Warisan Plus, Azis berkata: “Cara itu pernah dipakai oleh parti persekutuan dalam beberapa pilihan raya negeri.”

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keseluruhan 447 calon bertanding di 73 kerusi, dengan masing-masing satu kerusi melibatkan pertembungan 11 dan 10 calon. Majoriti kerusi lain melibatkan pertandingan lima, enam dan tujuh penjuru.

“Kami percaya rakyat Sabah bijak dan akan membuat pilihan yang tepat pada 26 September,” kata ketua pemuda Warisan itu.

“Terpulang pada pengundi untuk menentukan apa maknanya persaingan antara PN, BN dan Bersatu,” tambahnya. – 15 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen