Perikatan restui saya, kata calon Bebas


Calon Bebas Kenny Chua bertanding menentang sekutunya PBS di Inanam dalam pilihan raya negeri Sabah.– Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 13 September, 2020.

PERIKATAN Nasional merestui bekas timbalan pengerusi PKR Sabah Kenny Chua bertanding sebagai calon bebas menentang sekutunya Parti Bersatu Sabah (PBS) di Inanam.

Mereka telah memberi restu kepada saya untuk bertanding di sini,” kata Chua di ceramahnya di Kampung Mabpai di Inanam malam ini.

Dilihat bersama sukarelawan Perikatan, Chua menjelaskan beliau bertanding di kerusi Inanam kerana pernah menjadi calon di sana.

“Saya sepatutnya dicalonkan di sini sekali lagi, tetapi mereka (PBS) tak tunaikan janji mereka.

“Saya tidak menyalahkan mereka tetapi kami telah dijanjikan yang kami akan berdepan sekali lagi dengan pengundi di sini selepas DUN Sabah dibubarkan,” ujar Chua kepada wartawan.

Jelasnya, telah diketahui umum parti komponen Perikatan iaitu Star akan bertanding lapan kerusi manakala PBS akan meletakkan 15 calon mereka tetapi PBS telah memungkiri perjanjian ini.

Selepas penamaan calon semalam, PBS telah meletakkan 16 calon di kerusi yang ditandingi Barisan Nasional yang mana Perikatan juga turut bertanding.

Bagaimanapun, Chua mendakwa ini adalah keputusan saat akhirnya untuk bersama Perikatan menentang sekutunya PBS di Inanam.

“Semua orang naik angin selepas apa yang terjadi. Saya fikir Perikatan tidak selesa dengan PBS kerana parti itu tidak bersama Perikatan,” katanya.

Bagaimanapun, ketika berceramah, Chua tidak begitu menyerang PBS, sebaliknya banyak menghentam Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya bukan katak sebab Musa Aman yang menang dahulu sebelum beberapa pemimpin melompat parti sehingga Shafie menjadi ketua menteri.

“Kalau saya katak, saya sudah tentu melompat parti lebih awal. Saya sokong Shafie sebab saya percaya dia. Tapi selepas 22 bulan semuanya hancur.

“Dia nak jadi perdana menteri sebelum dia jadi ketua menteri yang bagus,” ujarnya.

Chua menambah ini juga salah Dr Mahathir kerana menanam idea ini dalam benak pemikiran Shafie.

“Dr Mahathir letak jawatan dan hilang kedudukan. Bila jadi begitu, dia calonkan Shafie. Kenapa pergaduhannya dengan Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dibawa sampai ke Sabah?”

Beliau mendakwa inilah punca beliau meninggalkan Warisan dan menghalakan sokongannya kepada Musa, bersama 15 lagi Adun pada Julai lalu. Katanya, Shafie juga gagal mengukuhkan ekonomi Sabah di bawah Warisan. – 13 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen