Parti Syed Saddiq sukar pikat belia Melayu luar bandar


Zaim Ibrahim

Bekas ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin parti baharunya mampu menarik minat pengundi di luar bandar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2020.

ANAK muda di kawasan jajaran majoriti Melayu di utara Semenanjung tidak teruja dengan parti yang baharu ditubuhkan oleh bekas ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beberapa pengundi golongan itu memberitahu The Malaysian Insight, mereka lebih gemar memilih parti sedia ada kerana mempunyai tokoh yang sudah terkenal.

Tambah mereka, tiada keperluan untuk menubuhkan sebuah parti baru untuk golongan muda kerana ia sekadar menambah banyak parti sedia ada.

Namun bagi penganalisis, golongan atas pagar dalam kalangan belia lebih cenderung memilih calon yang muda, dan Syed Saddiq mungkin cuba mengambil kesempatan ke atas trend tersebut.

Seorang pengundi muda, Abu Bakar Habibullah dari Pokok Sena, Kedah berpendapat matlamat parti yang ditubuhkan Syed Saddiq itu masih belum jelas dan bimbang ia mengundang perpecahan.

“Bagi saya tak perlu pun parti anak muda, sekarang pun sudah banyak parti-parti baru seperti Amanah, Bersatu, dan Pejuang.

“Walaupun parti itu boleh disertai pelbagai kaum tapi ia akan menyebabkan anak Melayu makin berpecah,” kata pengusaha warung nasi lemak itu.

Tambahnya, walaupun Syed Saddiq merupakan satu personaliti politik yang terkenal, ia belum cukup menarik minat golongan belia di kawasan luar bandar.

“Kami lebih berminat kepada parti yang ada tokoh terkenal seperti Umno, PAS, atau PKR.

“Walaupun had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, mereka mesti lebih tertarik dengan parti sedia ada melalui sayap pemuda,” jelas beliau.

Parti baharu itu menurut Syed Saddiq akan membuka keahlian kepada pelbagai kaum dan memberi fokus kepada golongan muda untuk berdepan dengan golongan muda yang berebut kuasa.

Dalam temubual bersama The Malaysian Insight, ahli Parlimen Muar itu yakin partinya mampu menarik minat pengundi di luar bandar.

Beliau juga menegaskan Malaysia memerlukan lebih ramai belia dalam politik dan bukannya golongan tua yang hanya berebut kuasa.

Namun bagi golongan muda di kawasan luar bandar seperti Fahmi Ishak, dari Kepala Batas, Kedah, Syed Saddiq tidak sepatutnya menolak semua golongan tua dengan pandangan seperti itu.

Aktivis sosial itu melihat Syed Saddiq seolah-olah beranggapan ramai ahli politik terlibat dengan rasuah sedangkan isu integriti tidak boleh diukur mengikut peringkat umur sahaja.

“Kita tidak boleh menjadikan ukuran umur sebagai penanda aras kepada kepimpinan dan tadbir urus yang bersih dan baik.

“Amalan rasuah dan salahguna kuasa berlaku di setiap peringkat umur pemimpin tempatan.

“Apa jaminan parti orang muda yang dijadikan alternatif kepada parti lama sebagai parti yang lebih bersih dan segar dari segi idea dan tenaga?” soal pemuda berusia 26 tahun itu.

Namun pada masa sama beliau percaya parti Syed Saddiq kelak boleh menembusi kawasan luar bandar jika mempunyai tawaran baik untuk golongan belia setempat.

“Andai nasib golongan belia di pedalaman berjaya didengari sepenuhnya barulah mampu menarik minat belia di kampung-kampung.

“Mereka pun penat dengan politik retorik dan sekadar ideologi. Orang muda mengharapkan parti yang boleh bergerak dan bekerja terhadap idea pejuangan tersebut,” tambahnya.

Seorang penyelaras NGO Generasi Muda Muhammad Shahrizul Muiz pula berpendapat, sayap pemuda dalam parti sedia ada sudah cukup untuk menjadi suara belia.

Aktivis NGO yang bergerak di Pulau Pinang itu berkata beliau bimbang ruang untuk melakukan rasuah terbuka apabila parti mengehadkan keahlian mengikut peringkat umur.

“Apabila seseorang mengetahui bahawa karier dalam politik akan tamat setelah mencecah umur maksimum belia, maka potensi mereka untuk terjerumus dalam rasuah juga amat tinggi bagi memastikan karier sentiasa terjamin.

“Atau jika tidak bersara, mereka akan lompat parti lain yang menyebabkan amalan lompat parti dalam negara terus menjadi kebiasaan,” jelasnya.

Tambahnya, parti itu akan memisahkan dan memecah-belahkan golongan tua dan muda dalam politik.

“Penubuhan parti muda hanya akan memecahbelahkan antara orang muda dan orang tua, kita akan sentiasa hidup dalam keadaan pemisahan di antara tua dan muda.

“Apa yang ingin diuntungkan dalam perpecahan ini? ” soalnya.

Perlu ada wakil belia luar bandar

Seorang penganalisis politik, Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat, Syed Saddiq perlu meletakkan calon tempatan jika mahu memikat pengundi luar bandar.

Pensyarah politik dari Universiti Utara Malaysia itu menjelaskan, parti itu hanya hanya akan menarik penduduk luar bandar yang bekerja di bandar jika dilihat sebagai parti elit dan profesional.

“Kalau betul-betul nak tarik sokongan orang muda di luar bandar perlu ada pendekatan yang profesional.

“Mereka perlu ada wakil daripada luar bandar supaya menjadi suara penduduk kampung,  jika tidak parti Syed Saddiq hanya dilihat untuk orang elit dan profesional,” katanya.

Tambahnya, walaupun secara tradisi pengundi akan memilih parti yang sedia ada, namun pengundi muda menunjukkan trend memilih calon berdasarkan personaliti.

“Dalam pilihan raya yang lepas, kalau ada calon muda, golongan belia yang tidak sokong mana-mana parti mempunyai kecenderungan memilih calon itu. Syed Saddiq sedar dengan perkara itu.

“Mereka rasa perlu diberi peluang kepada calon atau parti baru untuk menjadi pemimpin.

“Tetapi jika Syed Saddiq mahu partinya bertahan lama, mereka tetap perlu sertai gabungan parti lain untuk bantu daripada segi jentera, kewangan, dan kepimpinan,” tambah Azizuddin.– 14 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Muslim youth will never join party led by former PPBM Notorious Clubbing boy! wakakakakakakaka

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Paul Baggio · Ulasan