PAS tidak pernah rugi dalam kerjasama politik, kata Hadi Awang


Mohd Farhan Darwis

Menurut Abdul Hadi, perpecahan dalam kerjasama politik yang disertai oleh PAS hanya akan menguntungkan musuh politiknya. – Gambar ihsan Facebook PAS Pusat, 13 September, 2020.

PAS tidak pernah rugi dalam sebarang kerjasama politik yang disertainya, kata presidennya Abdul Hadi Awang, selagi parti Islam itu berdiri teguh di landasan Islam.

Abdul Hadi memberi ingatan itu kepada ahli parti agar tetap menjadi pejuang parti, ketika ada suara di akar umbi yang mula mempersoalkan kerjasama PAS dengan parti-parti lain selepas merasa diketepikan dalam pilihan raya negeri Sabah.

“Semua ahli parti yang berada di tempat masing-masing tetap menjadi jentera perjuangan yang sentiasa bergerak.

“Marilah kita mengulangi sejarah bahawa PAS tidak pernah rugi dalam semua kerjasama politik dengan pihak lain selagi kita beristiqamah dengan Islam,” katanya, dalam ucapan dasar presiden di Muktamar PAS ke-66, di Pengkalan Chepa, hari ini.

Ucapan itu turut dipancarkan melalui media sosial ketika muktamar berlangsung dengan kehadiran terhad dan peraturan ketat membendung pandemik Covid-19.

PAS dan Umno bekerjasama selepas kalah PRU14, pakatan politik itu dilihat berteraskan sentimen Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2020.

Menurut Abdul Hadi, perpecahan dalam kerjasama politik yang disertai oleh PAS hanya akan menguntungkan musuh politiknya.

Beliau lalu menyeru agar kerjasama yang ada sekarang dikekalkan sebagai satu pasukan yang akan mengharungi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jangan wujud sebarang perpecahan bagi menghadapi pilihan raya kali ini supaya kita tidak menjadi laksana lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kenyang.

“Sekarang kita sudah tangkap ayam yang makan beras padi yang tumpah dahulu, maka jangan diulang lagi dalam PRU-15 sehingga ayam pula terlepas, tangan pula berbau tahi.

“Marilah kita bersatu padu dalam gabungan parti politik yang dibentuk sekarang bagi menghadapi PRU-15 dengan bersedia untuk menang dan mengisi kemenangan dengan membentuk kerajaan yang lebih kukuh,” kata Abdul Hadi.

Muktamar hari ini berlangsung genap setahun selepas PAS memeterai kerjasama politik dengan Umno atas nama Muafakat Nasional. Gabungan itu menerima penyertaan Bersatu dua minggu lalu, menjadikannya satu kerjasama tiga parti Melayu dan Islam terbesar di Malaysia.

PAS pada masa sama menjadi parti penaja penubuhan Perikatan Nasional, bersama Bersatu, dan dua parti di Sabah iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

“Kita wajib menghadapi PRU15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini.

“Begitu juga kerajaan yang mendapat sokongan majoriti rakyat secara langsung dengan dikembalikan kepada mereka melalui pilihan raya umum,” tambah Abdul Hadi.

Namun begitu, Abdul Hadi berkata barisan kepimpinan PAS harus tegas agar parti itu terus dihormati, manakala ahli PAS pula diseru untuk terus taat atau wala’ dengan keputusan parti.

“Kepimpinan PAS wajib membuat keputusan secara tegas dengan mengambil kira supaya PAS dihormati dengan kemampuan memimpin serta berjaya menyelamatkan negara dan umat.

“Maka seluruh ahli perlu memberikan ketaatan dan wala’ terhadap keputusan parti yang merupakan syarat dan rukun kita berjemaah.

“Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan terpenting ini,” kata Abdul Hadi lagi.

Perwakilan Pemuda PAS ketika muktamar sayap parti semalam membangkitkan kekecewaan mereka apabila rakan kerjasama politik MN dan PN tidak memberi peluang untuk parti itu bertanding di Sabah.

PAS sebelum ini dilaporkan berhasrat bertanding 10 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah yang bermula semalam. Ia juga sempat melancarkan jentera di dua kawasan, yang membayangkan kesediaannya bertanding di sekurang-kurang di dua kerusi.

Dalam PRU14, PAS bertanding 8 kerusi Parlimen dan 18 kerusi negeri, termasuk menampilkan calon bukan Islam.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Abdul Hadi berkata PAS tidak bertanding di Sabah untuk “memberikan laluan kepada rakan-rakan” bagi mengelak pertembungan dua penjuru antara parti-parti yang bekerjasama.

Berucap semasa menggulung perbahasan di muktamar sayap semalam, timbalan ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berharap rakan politik PAS juga boleh memberi laluan yang sama kepada parti Islam itu dalam PRU15 nanti.

Muktamar Pemuda PAS semalam meluluskan usul menuntut 50 kerusi dalam PRU15. Usul yang dikemukakan oleh Pemuda PAS Bagan Serai itu juga meminta satu perlima daripada jumlah kerusi PAS nanti diberikan kepada calon pemuda.

Dalam PRU14, PAS yang bertanding sebagai kuasa ketiga meletakkan calon di 157 kerusi dan menang 18. – 13 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen