Sultan Selangor terima darjah kebesaran dipulangkan Dr Mahathir, Siti Hasmah


Amin Iskandar

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan menerima kembali darjah kebesaran yang dipulangkan Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2017.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan menerima kembali darjah kebesaran yang dipulangkan Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Dewan Diraja Selangor, baginda mengesahkan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah sudah memulangkan dan menyerahkan kembali darjah kebesaran yang diterima daripada Istana Selangor.

“Dengan itu, dimaklumkan Sultan Selangor berkenan menerima pemulangan kembali darjah dan bintang kebesaran Selangor itu oleh Dr Mahathir Mohamad dan Dr Siti Hasmah Mohd Ali tanpa halangan,” kata Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais dalam satu kenyataan hari ini.

“Tindakan mewartakan pembatalan kurniaan darjah dan bintang kebesaran Selangor tersebut akan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan.”

Semalam The Malaysian Insight melaporkan Dr Mahathir memulangkan dua darjah kebesaran tertinggi yang diterimanya dari Istana Selangor.

Kedua-dua darjah kebesaran itu dipulangkan pada petang Khamis dan diserahkan kepada seorang pegawai kanan di pejabat Sultan Selangor.

Isterinya, Dr Siti Hasmah turut mengambil tindakan sama.

Dr Mahathir menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS), Darjah Kelas Pertama pada 22 Jun, 1978, yang ketika itu membawa gelaran Datuk.

Darjah kebesaran itu dikurniakan hanya kepada dua orang pada satu-satu masa dan kuota maksimum penerimanya ialah 40 orang.

Sejak 1998, darjah kebesaran itu membawa gelaran Datuk Seri.

Kira-kira sebulan sebelum persaraannya pada Oktober 2003, Dr Mahathir dianugerahkan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) pada majlis Jasamu Dikenang di Istana Alam Shah, Klang.

Sementara Dr Siti Hasmah pula memulangkan kembali darjah kebesaran Selangor SPMS dan Darjah Paduka Mahkota Selangor (DPMS) pada hari sama dengan Dr Mahathir.

Dr Siti Hasmah menerima darjah kebesaran DPMS daripada Istana Selangor pada 1983 dan SPMS pada 1994. – 12 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Pemulangan pingat darjah kebesaran pemberian Sultan Selangor kepada Mahathir dan isterinya membuktikan yang Mahathir memberontak kerana Sultan Selangor menegur cara beliau berpolitik dengan menggunakan isu bangsa dan keturunan.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Liyana Jamal · Ulasan

    • Tolong jgn buat kenyataan mcm ini lg. Api udah beransur hilang dan mati.

      Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan