Bekas MB Johor ada ‘pas percuma’, Bersatu bimbang pilihan raya diadakan


Sheridan Mahavera

Adun Kempas Osman Sapian hadir dan berucap pada kempen di Pilihan Raya Kecil Slim anjuran Pejuang, parti yang melawan PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

WAKIL rakyat Johor, Osman Sapian ada pas percuma untuk melanggar disiplin parti kerana partinya Bersatu, tidak bersedia untuk kemungkinan pilihan raya negeri diadakan, kata penganalisis.

Prospek untuk pilihan raya negeri diadakan di Johor sangat tinggi, kata penganalisis politik, memandangkan jika kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) hilang satu Adun saja, ia akan mencetuskan kerajaan negeri tergantung.

Jika Osman dipecat daripada Bersatu, PN Johor akan hilang majoriti satu kerusi dalam DUN Johor, kata Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

“Ada juga kebimbangan yang ramai lagi Adun Bersatu akan sokong Osman jika beliau dipecat daripada parti,” kata Awang.

Pada masa ini, Osman adalah sebahagian daripada gabungan PN yang mempunyai 29 Adun daripada 56 kerusi di DUN Johor.

Jika Osman dipecat dan beralih sokongan kepada pembangkang, Pakatan Harapan (PH), setiap gabungan akan terikat pada 28 kerusi.

DUN tergantung akan bermakna enakmen penting seperti bajet 2021 Johor tidak dapat diluluskan, kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali, pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Jika berlaku keadaan itu, Sultan Johor mungkin akan membubarkan DUN bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan negeri yang lebih stabil.

Malam tadi, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata parti sudah memulakan siasatan terhadap Osman berhubung kemungkinan melanggar perlembagaan parti kerana menyokong pembangkang.

Tindakan terhadap bekas menteri besar Johor itu hanya boleh diambil selepas siasatan selesai, kata Hamzah.

Jika Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak ambil tindakan terhadap Osman Sapian, beliau akan dilihat lemah dan tidak tegas, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

“Masalahnya ialah Bersatu tidak bersedia untuk pilihan raya. Ia bergantung pada Umno untuk menerima dan bekerja bersamanya dalam Muafakat Nasional,” kata Mazlan.

“Malah di peringkat nasional pun, Bersatu masih cuba membina semua rumahnya dan pada masa ini akan bertanding pada pilihan raya negeri Sabah. Jadi ia mahu selesaikan isu ini dulu sebelum berdepan satu lagi pilihan raya di Johor.”

Seperti Putrajaya, kerajaan PH di Johor jatuh pada Mac selepas Bersatu keluar gabungan itu, dan menubuhkan PN bersama Umno dan PAS.

Parti terbesar dalam PN Johor ialah Umno dengan 17 kerusi DUN sementara Bersatu pada masa ini ada sembilan selepas Adun Pemanis Dr Chong Fat Full keluar PKR dan menyertainya.

Melengkapkan kerajaan PN ialah MIC dengan dua kerusi sementara satu kerusi PAS. PH kini ada 14 kerusi dipegang oleh DAP, Amanah sembilan dan PKR tiga.

Osman yang juga Adun Kempas hadir dan berucap pada kempen di Pilihan Raya Kecil Slim anjuran Pejuang, parti yang melawan PN.

Ahli Bersatu mendesak tindakan diambil terhadap Osman kerana parti itu sebelum ini pernah memecat wakil rakyat dan ahli yang menyokong Pejuang dan pempinnya seperti Dr Mahathir Mohamad.

 Pejuang ditubuhkan pada Ogos oleh bekas pemimpin Bersatu dan ahlinya yang tidak bersetuju dengan penyatuannya dengan Umno.

Mazlan yang pernah menjalankan kaji selidik tentang sentimen pengundi Johor tahun lalu, bekata Umno satu-satunya parti yang yakin boleh menang jika pilihan raya diadakan di negeri itu.

Tetapi pemimpin dan ahli Umno paling tidak boleh terima kehadiran Bersatu dan bekerjasama dengan parti yang dianggap serpihannya itu, serta menjadi punca ia tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Ahli akar umbi Umno Johor berkata Bersatu kurang jentera pilihan raya yang berkesan di kebanyakan bahagian di negeri itu dan akan bergantung pada Umno.

“Jadi Osman sangat menyusahkan untuk presidennya Muhyiddin Yassin. Jika Muhyiddin tidak ambil tindakan terhadap Osman, beliau akan dilihat lemah dan tidak tegas,” kata Mazlan.

“Tetapi jika beliau ambil tindakan terhadap Osman dan Adun itu kemudian sokong PH, Muhyiddin akan berdepan kerajaan negeri tergantung dan kemungkinan pilihan raya negeri,” katanya. – 9 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen