Bersatu siasat Osman Sapian hadir acara Pejuang, kata Hamzah


Noel Achariam

Tindakan terhadap Osman Sapian hanya boleh diambil selepas siasatan selesai, kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 September, 2020.

BERSATU sudah memulakan siasatan terhadap bekas menteri besar Johor Osman Sapian, kata setiausaha agung Bersatu Hamzah Zainuddin, berhubung kemungkinan melanggar perlembagaan parti kerana menyokong pembangkang.

Katanya, tindakan terhadap Osman hanya boleh diambil selepas siasatan selesai.

“Apa pun keputusan kita nak buat, kita kena dapatkan kepastian dulu… bila sudah ada kepastian, kita akan ambil tindakan ikut perlembagaan kita,” katanya, kepada pemberita selepas majlis sambutan ulang tahun keempat parti di Kuala Lumpur, malam ini.

Jelas Hamzah, siasatan berkenaan sama seperti yang dijalankan ke atas bekas pemimpin dan ahli Bersatu yang telah dikenakan tindakan sebelum ini.

Osman yang mendakwa masih ahli Bersatu baru-baru ini muncul di bilik operasi kempen calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Slim di Perak.

Calon Amir Khusyairi Mohamad Tanusi bertanding sebagai calon bebas kerana parti baharu Dr Mahathir Mohamad, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) belum diluluskan pendaftarannya.

Osman Sapian yang mendakwa masih ahli Bersatu baru-baru ini muncul dalam dua majlis Pejuang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2020.

Tindakan Osman, yang juga ketua bahagian Bersatu Ayer Hitam, mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukan kerajaan negeri Johor yang hanya dibezakan dengan dua kerusi. 

Sekiranya Osman keluar parti atau dipecat dari Bersatu dan menyokong Pakatan Harapan, kedudukan DUN Johor akan tergantung dengan masing-masing pihak mempunyai 27 kerusi.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Megat Najmuddin Megat Khas pada Jumaat lalu berkata Osman akan dipanggil untuk menjelaskan tindakannya menyertai kempen pembangkang.

Osman bagaimanapun pada Ahad dilihat muncul sekali lagi dalam majlis Pejuang, berdasarkan gambar dan klip video yang dimuat naik di Facebook.

Beliau hadir dalam majlis yang diadakan untuk meraikan jentera parti dari Johor yang berkempen dalam PRK Slim.

Sementara itu, Hamzah berkata hanya 247 ahli Bersatu yang meninggalkan parti, dipercayai menyertai Pejuang.

Beliau menafikan bahawa 70% ahli Bersatu sudah keluar parti, seperti didakwa bekas timbalan presiden parti Mukhriz Mahathir.

“Jumlahnya sangat kecil. Kita bermula dengan 46,000 ahli. Sekarang kita ada 500,000 ahli berdaftar di seluruh negara,” katanya. – 8 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen