Abang Veveonah pertahan dakwaan adiknya


Veveonah Mosibin terheret kontroversi apabila timbalan menteri mendakwa beliau menipu, tetapi gadis itu mendapat sokongan ramai rakyat Malaysia. – Gambar YouTube, 8 September, 2020.

ABANG kepada Veveonah Mosibin, Mekvin tampil mempertahankan adiknya berkaitan dakwaan terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian.

Menerusi catatan di Facebooknya, Mekvin berkata adiknya memuat naik video ke YouTube adalah untuk berkongsi pengalaman kesukaran hidup di kawasan pedalaman di mana capaian internet sangat bermasalah.

“Video yang adik saya buat tu, hanya untuk mengongsikan kisah hidup sebenar tetapi bukan untuk meminta apa-apa, tetapi tiba-tiba rakyat suka dan adik saya tidak tahu bahawa itu adalah satu isu yang besar,” tulisnya.

Tetapi video tersebut tular sehingga mendapat perhatian politikus dan Mekvin meminta pemimpin yang mendakwa adiknya menipu untuk turun padang melihat kesusahan hidup di pedalaman.

“Kalau kau YB, turun padanglah masuk semua kampung pedalaman, dan kau akan rasakan kehidupan orang kampung baru kau tahu, bukan juga kau mahu tahu surat menyurat, mesej dari orang yang tidak tepat,” kata Mekvin lagi.

Semalam, Ahli Parlimen Kudat Abdul Rahim Bakri mempertahankan dakwaan bahawa Veveonah tidak menduduki sebarang peperiksaan universiti pada Jun.

Dalam coretan Facebook yang sudah dipadam kerana dikecam hebat, Abdul Rahim mendakwa “siasatan” pihaknya mendapati Veveonah bukan lagi penduduk Kg Sepatalang.

Rahim berkata beliau meminta pegawainya, Ambang Sobul dari Kg Bilangau Kecil yang terletak bersebelahan Kg Sepatalang untuk menyiasat dakwaan Veveonah bahawa pelajar itu terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian.

“Seperti keterangan kedua-dua ketua kampung… ibu bapa pelajar ini sudah terlalu lama tidak tinggal di Kampung Sepatalang kerana bapanya Mosibin Maraun@Makrun adalah bekerja di KPD (Koperasi Pembangunan Daerah) di pekan Pitas.

“Mereka sebenarnya  tinggal menetap di pekan Pitas yang ada khidmat internet. Sebenarnya dia tidak ada rumah di Kampung Sepatalang seperti yang dia (Veveonah) dakwa..oleh itu macam mana pelajar ini boleh mendakwa dia belajar di atas pokok di Kampung Sepatalang sedangkan dia sebenarnya tinggal di pekan Pitas,” katanya.

Mekvin bagaimanapun tampil menjelaskan keadaan sebenar sambil mengingatkan wakil rakyat supaya tidak masuk campur urusan politik kampung yang mereka sendiri tidak arif.

“Last family saya di sana (Kg Sapatalang) penghujung tahun 2006 ke 2007…pindah ke KPD sebab bapa saya kerja sebagai kuli, kuli boss saja, kau apa tahu. Saya pun masa tu masuk Tingkatan 1 ke SMK Pitas dan syukur saya sebab dekat dengan sekolah sama kos pun kurang.

“Kau (Abdul Rahim) kata kami tiada rumah sana Kg. Sapatalang. Ya, memang tiada sebab sudah roboh, sudah uzur,” katanya lagi.

Mekvin turut mengingatkan wakil rakyat bahawa tanggungjawab mereka lebih besar dan bukan setakat meraih undi sahaja.

“Siapa rakyat? Rakyatlah yang menyokong mu jadi YB atau timbalan menteri. Tetapi bila kau dah senang dan kaya raya, kau dah lupa orang kampung yang masih memerlukan sesuatu.” – 8 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen