PKFZ rancang tubuh universiti pengurusan rantaian bekalan dan logistik


Khoo Gek San

Universiti pengurusan rantaian bekalan dan logistik dijangka dibina sebagai satu lagi inisiatif baharu PKFZ. – Gambar Facebook, 7 September, 2020.

UNIVERSITI pengurusan rantaian bekalan dan logistik dijangka dibina sebagai satu lagi inisiatif baharu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang kini sedang merangka kerjasama dengan institusi tempatan, Jepun dan Jerman.

Pengerusi PKFZ Lawrence Low berkata industri logistik menjadi semakin penting, terutama dengan kemajuan e-dagang ketika ini.

Menyedari hakikat ini, PKFZ akan merangka kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa bagi menubuhkan universiti rantaian bekalan dan logistik, katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui.

“Rakan utama kami adalah Tasco, anak syarikat Kumpulan Nippon Yusen Kabushiki Kaisha, Universiti Logistik Kuhne di Hamburg, Jerman, dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman milik Malaysia.”

Low berkata idea universiti rantaian bekalan dan pengurusan logistik itu pertama kali dicetuskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Swift Group Loo Hooi Keat. Kumpulan Swift salah satu penyedia logistik yang kini berkembang pesat di Malaysia.

Swift mencadangkan kampus universiti itu ditubuhkan dalam tempoh enam bulan hingga setahun, tertakluk kepada syarat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kami tidak dapat ke Jerman untuk buat apa yang perlu kerana PKP, sementara pihak lain juga tidak dapat datang ke Malaysia untuk menandatangani memorandum persefahaman.

“PKFZ mahu menyediakan ruang untuk universiti yang diharapkan mampu menarik pelajar dari Asean, Asia Tenggara dan Timur Tengah dalam setahun penubuhannya,” kata Low.

Sasarannya ialah pendaftaran baharu 600 pelajar dari rantau ini dalam tiga tahun pertama beroperasi.

Pengerusi PKFZ Lawrence Low berkata industri logistik menjadi semakin penting, terutama dengan kemajuan e-dagang ketika ini. – Gambar Facebook, 7 September, 2020.

“Kami akan menawarkan program Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah, dengan tujuan melatih bakat pengurusan logistik.

“Rantai bekalan dan logistik adalah salah satu sains, yang meliputi pengurusan logistik dan operasi, penyelesaian masalah dengan kaedah statistik, pengurusan rantai bekalan, pengurusan perolehan dan inventori, teknologi gudang dan pergudangan, teknologi dan pengurusan pengangkutan dan lain-lain,” katanya.

Low berkata China Ocean Shipping Company Limited (Cosco) akan menyediakan kursus pensijilan diploma jangka pendek dan akan menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan dengan gaji minimum minimum AS$1,000 (kira-kira RM4,100).

Beliau berkata salah satu kelebihan penubuhan universiti logistik di dalam PKFZ ialah pelajar akan dapat mengaplikasikan pengetahuan teori mereka dan mendapat latihan secara terus di lapangan.

Low, yang dilantik sebagai ketua PKFZ pada 18 Mei menyifatkan tugasnya sebagai ketua zon perdagangan bebas itu seperti berlumba dengan masa.

Setelah skandal kewangan yang melanda perkembangan awalnya, zon perdagangan bebas itu kini memperolehi keuntungan selama lima tahun kebelakangan ini dan bersiap untuk dikembangkan, katanya.

PKFZ juga merancang untuk bekerjasama dengan Kumpulan Alibaba dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi mewujudkan zon perdagangan bebas digital (DFTZ).

Katanya, penghantaran melalui laut kini lebih menjimatkan daripada pengangkutan udara.

Di samping itu, peningkatan kualiti yang ketara dilakukan untuk pengangkutan laut Malaysia, selain peralatan di pelabuhan dan tempoh masa pengedaran bekalan. – 7 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen