PKFZ catat untung, bukan lagi projek 'gajah putih', kata pengerusinya


Khoo Gek San

Kawasan bangunan PKFZ yang dulu pernah digelar bandar kosong kini disewa sepenuhnya. – Gambar Facebook, 6 September, 2020.

LABEL projek “gajah putih” terhadap Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akhirnya ditanggalkan dan kini bakal dikembangkan selepas beberapa tahun kebelakangan ini menghasilkan keuntungan, kata pengerusinya Lawrence Low.

“Kawasan bangunan pejabat zon perdagangan bebas yang dulu pernah digelar ‘bandar kosong’ kini disewa sepenuhnya di empat bangunan komersial, satu pusat pameran, satu tempat letak kereta bertingkat dan satu tempat letak kenderaan luaran.

“Semua ruang disewakan pada bulan Mei,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Terdapat 18 syarikat yang bersaing untuk menyewa plot tanah seluas 7 ekar di PKFZ, tambah Low.

“Banyak syarikat lain berada dalam senarai menunggu setelah kontrak sewaan berakhir.”

Pada separuh kedua tahun 2020, beliau berkata PKFZ hampir mencapai sasarannya, termasuk pendapatan melebihi RM100 juta. Kadar penghunian seluruh zon perdagangan bebas juga mencapai 100% pada awal bulan ini.

Dengan penghunian penuh, badan pengarahnya mempunyai rancangan untuk PKFZ2 yang akan diusulkan kepada kerajaan Perikatan Nasional, kata Low.

Keuntungan meningkat setiap tahun selama lima tahun terakhir, dari RM42.74 juta pada tahun 2015 kepada RM56.4 juta pada tahun 2016, RM59.65 juta pada tahun 2017, RM68.02 juta pada tahun 2018 dan RM77.83 juta pada tahun 2019.

Untuk tahun 2020, pendapatannya telah mencecah RM105.02 juta. Selepas ditolak perbelanjaan sebanyak RM21.73 juta, lebihan itu mencecah RM83.28 juta.

Unit perindustrian seluas 950 ekar yang disewakan sepenuhnya merupakan sumber pendapatan utama bagi PKFZ, menghasilkan puluhan juta ringgit kepada Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) setiap tahun.

Bagi mempromosi peranan Pelabuhan Klang sebagai hab eksport semula, selain bagi mengembangkan industri pembuatan yang memusatkan aktiviti kepada pengeluaran komoditi eksport, kerajaan telah menetapkan PKFZ sebagai zon perdagangan bebas komprehensif pertama, yang berdekatan dengan Westport, pada tahun 2007. Ia meliputi kawasan seluas 1,000 ekar dan 640 ekar tanah industri.

Lokasinya yang berdekatan dengan Westport dilihat sebagai kelebihan dan tarikan bagi syarikat multinasional dan perusahaan tempatan. Zon perdagangan bebas itu juga mempunyai jalan mudah menuju ke Westport. Hal ini memudahkan syarikat-syarikat memunggah kontena mereka di zon itu dalam masa beberapa minit setelah tiba di pelabuhan.

PKFZ juga mempunyai biaya yang lebih rendah dari Singapura, selain banyak syarikat serantau dapat menjimatkan kos hingga 30% dengan mendirikan gudang di sini, tambah Low. – 6 September, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen