Guan Eng desak Ketua Pemuda Bersatu minta maaf isu tutup sekolah vernakular


Perikatan Nasional adalah kerajaan pertama dalam sejarah yang mempunyai timbalan menteri yang terang lagi bersuluh melanggar Perlembagaan Persekutuan, kata Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 6 September, 2020.

KETUA Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal perlu memohon maaf kerana menyinggung rakyat Malaysia apabila menyarankan penutupan sekolah vernakular, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu berkata ancaman timbalan menteri belia dan sukan itu perlu dikutuk oleh rakyat yang menghormati dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan.

“Sedih bila menteri atau timbalan menteri secara terbuka mengeluarkan kenyataan provokatif bersifat perkauman seperti itu.

“Malah menteri dan timbalan menteri yang sebelum ini menyokong sekolah vernakular memilih untuk berdiam diri dari menyinggung timbalan menteri Bersatu itu,” kata bekas menteri kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Lim, Perikatan Nasional adalah kerajaan pertama dalam sejarah yang mempunyai timbalan menteri yang terang lagi bersuluh melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Tak pernah dalam sejarah mana-mana penjawat awam menyeru supaya menutup sekolah vernakular dan menyinggung rakyat Malaysia yang menyokong pendidikan vernakular,” katanya.

Tambahnya lagi perlembagaan menjamin kewujudan sekolah vernakular di Malaysia.

Lim juga berkata undang-undang menghalang mana-mana ahli parlimen menggunakan keistimewaan parlimen dari menyoal hak yang diperuntukkan itu bila berbahas di Parlimen.

Ini supaya dapat menghalang dari berlakunya provokasi perkauman berhubung penggunaan bahasa.

Ujar Lim lagi, pada 1982 pernah ada ahli parlimen yang didakwa dan dituduh menghasut kerana berucap di Parlimen menyeru penutupan sekolah vernakular.

“(Dan) kini kita ada timbalan menteri dari Bersatu yang menjadi contoh buruk generasi akan datang dengan merendahkan Perlembagaan Persekutuan.

“Menguatkan penggunaan Bahasa Malaysia di sekolah vernakular akan disokong semua rakyat Malaysia, tetapi untuk menutup sekolah vernakular, ini sangat tidak masuk akal dan sangat melampau,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah DAP tidak mahu didakwa dengan tuduhan menghasut, sebaliknya menyeru Fayhsal memohon maaf atas kenyataannya itu.

Hujung bulan lalu, Fayhsal berkata beliau menyokong pandangan Pemuda Bersatu untuk menghapuskan sekolah vernakular di negara ini.

Katanya sekolah vernakular tidak menghasilkan pelajar yang kuat identiti kebangsaan dan kewujudan (sekolah vernakular) kekal bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Fayhsal turut berkata lepasan sekolah vernakular cuma fasih dalam bahasa ibunda masing-masing sahaja berbanding bahasa kebangsaan. – 6 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen