2 politikus Sabah saman Zawawi


Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh mencetuskan kontroversi agama kerana kenyataannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2020.

DUA ahli Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dari Sabah menyaman Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh kerana kenyataan kontroversi berkaitan alkohol dalam agama Kristian.

Ketua Bahagian Star Tanjung Aru Marcel Jude Joseph dan ahli parti, Margaret Binsing, mendakwa wakil rakyat PAS itu menghina dan gagal menghormati agama lain kerana kenyataan itu.

Peguam mereka juga memfailkan injuksi di Sabah bagi menghalang Zawawi daripada membuat kenyataan lanjut mengenai agama mereka.

Notis tuntutan menyatakan Zawawi secara salah mendatangkan kerosakan, membahayakan, mencederakan, menyinggung dan mensensasikan agama dan kepercayaan plaintif.

“Defendan secara bercanggah atau salah masuk campur dalam hak kebebasan beragama kami seperti di bawah (dilindungi) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” kata notis.

Semalam, Zawawi terus mempertahankan kenyataan tentang Perjanjian Lama melarang pengambilan alkohol.

Beliau tetap mempertahankan kenyataannya sebelum ini di Dewan Rakyat bahawa penggunaan alkohol dilarang di semua agama dan “merayu” semua pihak yang memutarbelitkan kenyataannya untuk menyokong kempen Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menentang pemandu mabuk.

“Kepada mereka yang berkeras untuk meminta maaf, marilah kita bertemu dan minum secangkir teh ketika duduk serta berbincang dan saling memahami antara satu sama lain.

“Kami umat Islam, dan juga orang Kristian, percaya ada Perjanjian Lama yang dibawa oleh Nabi Isa dan Perjanjian Baru yang ditulis setelah kematiannya,” katanya.

Selain injuksi, Joseph dan Binsing juga menuntut ganti rugi kerana campur tangan tidak sah ke atas hak beragama mereka yang dilindungi perlembagaan. – 4 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen