Tiada gabungan miliki peluang lebih besar menang PRU15, menurut tinjauan 


Sheridan Mahavera

Hasil tinjauan Kajidata mendapati sekurang-kurangnya satu daripada lima pengundi masih belum pasti siapa yang akan mereka pilih berdasarkan keadaan politik semasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2020.

TIDAK pasti parti politik mana akan menang jika pilihan raya umum diadakan bulan depan berdasarkan tinjauan pada suku ketiga tahun ini yang dijalankan oleh Kajidata.

Hasil tinjauan ini bertentangan dengan pandangan beberapa parti politik seperti Umno dan PAS yang yakin akan dapat mengambil alih Putrajaya jika pilihan raya umum diadakan.

Tinjauan itu juga menunjukkan trend membimbangkan perpecahan etnik yang semakin besar apabila ia melibatkan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Eksekutif Kajidata, Redwan Haris berkata tinjauan menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada lima pengundi masih belum pasti siapa yang akan mereka pilih berdasarkan lanskap politik semasa.

Jumlah pengundi “atas pagar” ini mungkin cenderung berpihak kepada PH, PN atau Muafakat Nasional (MN), kata Redwan.

Menurut tinjauan terhadap 1,007 responden yang dilakukan antara 25 hingga 29 Julai, Kajidata mencadangkan dua senario pilihan raya umum - pertama, PN lawan PH, dan yang kedua jika pertembungan melibatkan PN, PH dan MN.

Bagi senario pertama, PN vs PH, PN diramal memperoleh 42% undi responden sementara PH akan memperoleh 30% undi.

Pengundi atas pagar terdiri daripada 20%, 5% tidak akan keluar mengundi dan 3% memilih “parti politik lain”.

PH juga mendapat 30% undi dalam senario kedua (PH vs PN vs MN) sementara MN memperoleh 24% undi diikuti PN sebanyak 18%.

Bagi kes ini, pengundi yang tidak pasti juga terdiri daripada 20%, 5% tidak akan keluar mengundi dan 3% memilih “parti politik lain”.

“Jumlah respons tidak tahu yang ramai menunjukkan ketidakpastian pengundi mengenai keadaan politik,” kata Redwan kepada The Malaysian Insight.

Ketika tinjauan dilakukan, Bersatu sudah terbahagikepada dua puak yang berperang antara Presiden Muhyiddin Yassin dan bekas ketua Dr Mahathir Mohamad.

Pada masa yang sama, PN belum didaftarkan sebagai gabungan rasmi sementara Umno dan PAS belum memutuskan sama ada ia akan bergabung secara rasmi.

PN kini merangkumi Bersatu, PAS dan parti dari Sabah, sementara MN adalah pakatan yang terdiri daripada Umno, PAS dan Bersatu.

“Oleh itu, jika pilihan raya diadakan esok, tidak pasti siapa yang akan menang kerana terdapat tahap ketidakpastian yang tinggi daripada hampir seperlima pengundi.

“Perlu diingat juga ada banyak hal yang terjadi dalam beberapa minggu terakhir dibandingkan ketika tinjauan dilakukan (pada Julai) yang benar-benar dapat mempengaruhi pola pengundian,” kata Redwan.

Sebagai contoh, ketika tinjauan, kontroversi mengenai Menteri Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali ingkar kuarantin dan kenyataan Ahli Parlimen PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh mengenai Bible belum berlaku. – 4 September, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen