Tiada penyumbang besar biayai parti Syed Saddiq


Ragananthini Vethasalam Aminah Farid

TIDAK ada jutawan ataupun hartawan, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan spekulasi mengenai siapa yang membiayai dana parti politik belia baharunya.

Bekas menteri belia dan sukan itu menepis desas-desus di media sosial bahawa seorang tokoh korporat akan menyalur dana kepada parti politik yang masih belum didaftarkan itu.

“Kita perlu mulakan reformasi politik yang tulen untuk menghilangkan pengaruh politik wang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Syed Saddiq membayangkan parti itu sebagai gerakan akar umbi milik rakyat dan bukan parti yang memperjuangkan golongan elit.

Namun katanya orang ramai perlu percaya pada idealisme dan semangat serta kepercayaan mereka yang bekerja tanpa mengharapkan banyak ganjaran kewangan.

“Dan mereka ini datang untuk membantu. Mereka tidak mengharapkan sesen pun. Mereka datang dengan wang mereka sendiri untuk menyokong gerakan ini,” katanya.

Beliau berkata ahli yang mendapatkan dana telah dapat menyumbang kerana mereka berdikari dan berjaya dengan cara mereka sendiri.

“Derma untuk parti dialu-alukan tetapi akan dihadkan.

“Anda boleh menderma tetapi sudah pasti anda tidak dapat memberikan RM10 juta kerana ada had. Ia boleh jadi RM20,000 atau RM50,000…terserah kepada pemimpin parti untuk putuskannya nanti,” kata ahli Parlimen Muar yang berusia 27 tahun itu.

Tambahnya ini adalah bagi memastikan tidak ada “syarat yang harus dipenuhi” dengan penderma.

Sumbangan dana, ‘gangguan teknologi’

Parti ini berharap kepada sumbangan dana dan gangguan teknologi seperti ‘blockchain’ dan platform dalam talian untuk mengumpulkan dana.  

Beliau berkata ada pelbagai kaedah pengumpulan dana yang dapat digunakan dengan menyebut contoh kempen pengumpulan dana bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama untuk pilihan raya 2008 dan Senator Vermont Bernie Sanders yang membuat keputusan keluar dari bertanding dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020.

“Kami belum melihat sistem debit automatik. Sebagai contoh setiap ahli perlu membayar RM2 sebulan yang didebitkan secara automatik dan berjumlah RM24 setahun.

“Bayangkan jika ada 100,000 ahli. Itu jumlah yang lumayan bagi parti untuk menjalankan pentadbiran mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mengkaji cara untuk mengurangkan kos operasi.

Beliau juga bercakap mengenai perubahan yang dapat dilakukan dalam bagaimana ceramah diadakan.

“Sebagai contoh sesiapa boleh menjemput saya untuk bercakap. Anda boleh mengatur program di rumah anda, hanya minum kopi, menjemput 30 orang…mereka yang ada di kampung anda.

“Saya akan datang untuk slot dua jam, dan selepas itu saya akan bergerak ke kampung yang lain,” katanya.

Ini dapat dilakukan dengan kerjasama kumpulan masyarakat bagi memastikan suara rakyat didengar, katanya. – 3 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen