4 calon presiden Dewan Negara diputuskan Rabu


Zaim Ibrahim

Rais Yatim merupakan salah seorang calon presiden Dewan Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 ogos, 2020.

EMPAT calon dinamakan setakat ini untuk jawatan presiden Dewan Negara, yang akan dipilih apabila dewan tinggi di Parlimen itu bersidang minggu ini.

Dua daripadanya merupakan Yusmadi Yusoff dari PKR dan Theodore Douglas Lind dari Warisan.

Dua lagi pemimpin Bersatu Negeri Sembilan yang juga bekas menteri Rais Yatim, dan Muhamad Ali Mohammad dari Umno.

Senator dari parti Pejuang, Marzuki Yahya mengesahkan kepada The Malaysian Insight beliau mencadangkan nama Douglas Lind pada 28 Ogos lalu.

“Ya betul (saya mencadangkan). Saya kini bukan dalam Pakatan Harapan (PH) dan sewaktu cadangkan nama Douglas Lind, belum dibincangkan lebih lanjut dengan rakan-rakan dalam PH.

“Itu baru cadangan daripada saya,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, walaupun ada satu nama daripada PH iaitu Yusmadi, beliau akan berbincang dengan rakan komponen lain untuk mencalonkan satu nama sahaja.

“Cara terbaik adalah perbincangan. Kita akan bincang sebelum pemilihan Rabu ini, kita bincang supaya ada satu calon sahaja daripada PH dan Pejuang,” tambah beliau.

Ketika dihubungi The Malaysian Insight, bekas ahli Parlimen Balik Pulau itu mengesahkan beliau dicalonkan sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara pada 27 Ogos.

Yusmadi yang juga pengerusi Kaukus Dewan Negara dan Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara itu dicalonkan Senator Ahmad Azam Hamzah, juga dari PKR.

The Malaysian Insight difahamkan pencalonan Muhamad Ali dari Umno hari ini dibuat oleh Ismail Ibrahim dari parti sama.

Pencalonan itu dibuat pada hari terakhir mengemukakan usul hari ini, sebelum sidang Dewan Negara bersidang pada Rabu.

Pencalonan Rais Yatim, yang dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos lalu pula ditentang senator pembangkang.

Kenyataan itu ditandatangani senator daripada PKR, Amanah, DAP, Pejuang, Warisan dan Upko itu juga mendesak kerajaan berunding dengan semua parti politik untuk melantik presiden tersebut.

Mereka berkata Rais yang mengangkat sumpah sebagai senator pada Jun tidak sesuai untuk jawatan itu kerana merupakan bekas menteri Umno yang kini bersama Bersatu.

Dalam kenyataan pada Jumaat itu, mereka menegaskan Dewan Negara memerlukan presiden yang mampu mewujudkan konsensus sesama ahlinya.

“Dewan Negara adalah fitrahnya sebuah dewan yang harmoni dan kurang berbalah, justeru ia memerlukan seorang presiden yang mampu memupuk konsensus dalam kalangan anggotanya.”

Setiausaha Dewan Negara, Mohd Sujairi Abdullah enggan mengulas lanjut mengenai pencalonan untuk jawatan berkenaan.

“Kita tunggu hari Rabu ini saja,” katanya ringkas mengenai persidangan yang akan memilih pengerusi tersebut.

Mengikut Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Negara, ahli Dewan perlu mencadangkan nama ahli sebagai Yang di-Pertua sekurang-kurangnya dua hari sebelum mesyuarat.

Presiden Dewan Negara yang baharu akan menggantikan senator dari MIC SA Vigneswaran yang sudahpun tamat penggal perkhidmatan pada Jun lalu. – 31 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen