Rais tak sesuai jadi presiden Dewan Negara, kata senator pembangkang


Rais Yatim dijangka dilantik presiden Dewan Negara, cadangan yang dibantah senator parti pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

SENATOR parti pembangkang membantah tindakan kerajaan untuk melantik Dr Rais Yatim sebagai presiden Dewan Negara baharu.

Mereka berkata Rais, seorang bekas menteri Umno yang kini bersama Bersatu, tidak sesuai untuk jawatan itu.

Tambahnya, Dewan Negara memerlukan presiden yang mampu mewujudkan konsensus sesama ahlinya.

“Dewan Negara adalah fitrahnya sebuah dewan yang harmoni dan kurang berbalah; justeru itu ia memerlukan seorang presiden yang mampu memupuk konsensus dalam kalangan anggotanya.

“Kami berpendapat bahawa Tan Sri Rais Yatim bukanlah individu yang sesuai untuk memegang peranan tersebut,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani senator daripada PKR, Amanah, DAP, Pejuang, Warisan dan Upko.

Mereka juga mendesak kerajaan untuk melakukan rundingan dengan semua parti politik diwakili dalam Dewan Negara untuk pelantikan presiden.

“Kami menyeru pihak kerajaan untuk berunding dengan semua parti politik yang diwakili dalam Dewan Negara berkenaan kedudukan presiden seterusnya agar dapat melantik seorang presiden yang boleh diterima semua pihak,” kata kenyataan lagi.

Rais mengangkat sumpah sebagai senator pada Jun lalu.

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan itu sebelum ini dilaporkan media sebagai berkata beliau berhasrat menjadikan Dewan Negara, antara badan komponen legaslatif tertinggi negara, satu teladan untuk rakyat.

Presiden Dewan Negara yang baharu akan menggantikan Presiden MIC SA Vigneswaran yang penggalnya tamat pada Jun. – 28 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen