Merdeka zaman Covid-19: Kesatuan dalam kepelbagaian jadi kekuatan


Aminah Farid Noel Achariam

Tiada perarakan Hari Kebangsaan tahun ini susulan wabak Covid-19 yang masih aktif. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Ogos, 2020.

TIDAK ada perarakan Hari Kebangsaan tahun ini lantaran wabak Covid-19 yang masih aktif, namun pandemik ini telah menunjukkan bahawa nilai-nilai kemerdekaan tetap terus berkekalan.

Sebahagian besar tahun 2020 dijalani di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), senario itu menyaksikan rakyat Malaysia dari pelbagai kumpulan telah menghidupkan inisiatif mengumpulkan sumber keperluan asas bagi membantu mereka yang terkesan dengan PKP dan mereka yang kehilangan pendapatan akibat kemelesetan ekonomi.

Sempena ulangtahun kemerdekaan Malaysia ke-63, The Malaysian Insight sempat menemui beberapa individu dan kumpulan masyarakat sivil yang aktif melakukan kerja-kerja kebajikan sepanjang PKP. Mereka ini sekurang-kurangnya telah memberi makna segar kepada slogan yang acapkali dilaungkan ketika menyambut kemerdekaan: “kesatuan dalam kepelbagaian”. 

1. Pushparani Thilaganathan, penasihat MIMICARE.

MIMICARE telah membantu kanak-kanak dan ibu dari komuniti B40 dan B20 di Kapar, Klang, sejak tahun 2017.

Pushparani, 58, berkata terdapat 60 keluarga dalam pangkalan data organisasi untuk kawasan Kapar yang mengalami kesulitan semasa PKP.

Namun mereka menyedari bahawa bantuan mereka diperlukan di luar kawasan Klang.

“Dalam 10 hari awal (PKP), kami dibanjiri dengan permintaan untuk bantuan keperluan asas dari mereka dan juga dari komuniti pelarian Sri Lanka dan Rohingya di daerah itu.

“(Bahkan) Kami juga menerima permintaan dari Sabah dan Sarawak.”

Kumpulan itu memulakan program Bakul Makanan pada 22 Mac. Setiap bakul terdiri daripada beras, gula, kacang, susu, minyak, mi, garam, biskut, tepung dan telur. Dalam beberapa kes, kami juga mengedarkan susu formula dan lampin. “

“Bakul ini diedarkan kepada warga Malaysia dan pelarian di Kapar, Meru, Shah Alam, Kuala Selangor, Sentul, Puchong, Rawang, Batu Caves, Seremban dan Lawas di Sarawak.”

Penasihat MIMICARE Pushparani Thilaganathan. – Gambar  The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2020.

Organisasi ini juga turut mengedarkan 2,580 pek makanan kepada mereka yang memerlukan sepanjang PKP.

Pushparani, yang memperoleh pendapatan sebagai editor bebas berkata bahawa dana untuk membeli barang keperluan asas disumbangkan oleh keluarga, rakan, dan anggota MIMICARE.

“Kami juga mendapat sokongan daripada rakan-rakan dalam pasukan sukarelawan Bank Negara Malaysia, Masaala Wheels dan Kechara Soup Kitchen.

“Sangat menyedihkan apabila melihat sebuah keluarga putus asa. Ada satu keluarga yang saya temui tidak makan selama dua hari kerana tinggal jauh dari tempat pengedaran makanan.”

Merdeka ini, Pushparani berkata bahawa beliau bangga menjadi rakyat Malaysia.

“Kami letak politik di tepi, kami adalah komuniti yang saling peduli dan Covid-19 menyaksikan orang ramai berkumpul untuk membantu.

“Kami tidak peduli siapa, di mana, atau apa masalahnya. Satu-satunya perhatian kami adalah untuk membantu orang lain dan memberi bantuan kepada keluarga yang terpinggir.”

2. Ahmad Azhraii Ahmad Kamal dan isteri Saadah Baharudin.

Ahmad Azhraii, 40, berkata wabak itu telah memberi kesan kepada banyak keluarga di kampung beliau, Kampung Baharu, Pahang.

“Orang kampung kebanyakan bergantung pada upah harian. Pandemik ini benar-benar bagi kesan pada mereka kerana mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi dan mereka tidak pasti sama ada pekerjaan mereka masih ada atau tidak selepas PKP.

“Wang yang mereka ada hampir tidak cukup untuk keperluan harian. Oleh itu, kami memutuskan untuk membantu,” kata perunding IT itu.

Beliau dan isterinya, Saadah, 39, mendapatkan bekalan dari petani yang tidak dapat menjual sayur-sayuran mereka kerana masalah logistik dan pengangkutan pada awal PKP ketika perjalanan antara negeri dilarang.

“Kami membeli beberapa kilo dari mereka dan mengedarkan sayur-sayuran kepada penduduk kampung.

“Kami juga menolong peniaga ayam tempatan dengan membeli ayam daripada mereka. Kami kemudian meluaskan bantuan kami ke kampung lain yang berdekatan.”

Pasangan itu mula menggunakan dana mereka sendiri untuk membeli bekalan tetapi setelah membuat catatan mengenai aktiviti mereka di Twitter, ahli keluarga mula menderma.

Ahmad Azhraii berkata, beliau bangga bahawa rakyat Malaysia boleh bergabung untuk saling membantu.

“Menolong orang lain tidak sukar. Cukup mulakan dengan apa yang anda ada. Kami bermula dengan hanya RM50. Sangat mudah untuk merasa terbeban, jadi perancangan juga penting. Kami memberi mereka apa yang mereka perlukan sehingga tidak ada pembaziran.

“Ini juga satu masalah yang kerajaan perlu atasi dan rapatkan jurang antara kelas masyarakat,” tambahnya.

3. Aiman ​​Syaaban Azahari, penjual nasi ayam.

Warga Kuantan, Aiman ​​mengusahakan sebuah kedai nasi ayam bersama bapa saudaranya. Bersama-sama keluarganya, mereka menyediakan bekalan makanan untuk 1,778 isi rumah di Beserah dan Kuantan semasa PKP.

“Kami beri hampir 8,000 bungkus nasi ayam kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal dan miskin bandar di Kuantan.

“Pada mulanya, kami hanya beri perhatian kepada orang-orang yang memerlukan dari kampung kami di Beserah, yang kebanyakannya adalah nelayan, mereka yang mendapat gaji harian, ibu tunggal, orang tua dan anak yatim,” kata pemuda berusia 36 tahun itu.

Aiman ​​kemudian menerima permintaan dari seorang rakan yang bekerja dengan kumpulan hak transgender SEED, yang meminta pertolongan untuk membantu komuniti minoriti itu di Kuantan.

Ayman ​​Syaaban Azahari dari Kuantan mengusahakan sebuah kedai nasi ayam bersama bapa saudaranya. – Gambar  The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2020.

“Pada masa itulah kami mengembangkan inisiatif kami untuk membantu komuniti trans, pekerja seks, gelandangan, pendatang, pelarian, dan orang miskin bandar di Kuantan.”

Beliau mendapati sepanjang usahanya memberikan bantuan kepada golongan-golongan tersebut benar-benar menyentuh emosi beliau apabila melihat rasa terkejut dan rasa terima kasih yang ditunjukkan oleh penerima bantuan.

Aiman berkata, dia mahu mereka yang mendapat bantuan tahu bahawa bantuan sedemikian boleh diusahakan rakyat Malaysia biasa seperti beliau.

“Saya pastikan untuk beritahu semua penerima bahawa makanan yang mereka terima adalah dari rakyat, dan bukan kerajaan, elit politik atau parti politik mana pun.”

Merenung Hari Merdeka tahun ini, Aiman berkata bahawa wabak itu menunjukkan kepadanya bahawa rakyat Malaysia benar-benar peduli antara satu sama lain.

“Ketika kelas pemerintah sibuk memperjuangkan kekuasaan dan kedudukan, rakyat berdiri bersama dalam solidariti,” katanya. 

4. Pengasas Angel Book Bank, Michelle Yap.

 Angel Book Bank yang diasaskan Yap telah membantu banyak keluarga yang memerlukan di sekitar Kuala Lumpur sejak PKP dikuatkuasakan pada Mac.

“Mereka ini bergaji ikut hari. Tak ada gaji, tak boleh beri keluarga makan.

“Kami datang bantu, dengan menyumbang duit dan barang keperluan dari pembekal makanan, kawan-kawan, dan dana amal syarikat kami.”

Angel Book Bank juga membantu pelarian semasa PKP. Peraturan ketat PKP membenarkan hanya seorang ahli keluarga keluar rumah untuk membeli makanan dan ubat.

“Kalau hati kita baik, kita akan faham bahawa perpaduan akan menjadikan negara membangun dan stabil,” kata Yap mengenai pengertian Merdeka ketika pandemik Covid-19.

Tambahnya, semua kaum di negara ini perlu bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain tanpa mengira status.

“Dalam kumpulan kami, kami bekerja sebagai satu pasukan tanpa mengira bangsa. Saya selalu ingatkan mereka yang kita mesti menghormati semua orang. Tiada diskriminasi kaum, kita semua bersatu.” – 31 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen