Pelanjutan PKPP dijangka diketahui malam ini


The Malaysian Insight

PKPP mula dilaksana pada Jun membolehkan hampir semua aktiviti ekonomi dan sosial dilakukan semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

PUTRAJAYA dijangka mengumumkan keputusan sama ada perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akan dilanjutkan selepas 31 Ogos, malam ini.

Ini susulan cadangan Kementerian Kesihatan supaya ia dilanjutkan bagi membantu usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengumuman akan dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas di saluran televisyen negara pada jam 8 malam, menurut mesej dihantar kepada media.

PKPP yang membolehkan hampir semua aktiviti perniagaan dan sosial dijalankan semula dengan syarat mematuhi garis panduan ditetapkan bermula Jun lalu, menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

PKPP bermatlamat menggerakkan usaha pemulihan ekonomi negara selepas ditutup selama lapan minggu apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada 18 Mac untuk memerangi wabak Covid-19 di negara ini.

PKP menyebabkan institusi pendidikan, pejabat dan hampir semua perniagaan diarah tutup sehingga menyebabkan penurunan 17% keluaran dalam negara kasar Malaysia pada suku kedua tahun ini.

Penutupan operasi niaga juga menyebabkan kadar pengangguran meningkat dan hampir sejuta orang dijangka hilang kerja tahun ini.

Tetapi, walaupun garis panduan aktiviti yang ketat dikuatkuasa, Malaysia terus merekodkan kes jangkitan baharu hampir setiap hari dengan jumlah kes aktif setakat semalam adalah 127 kes.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dilaporkan berkata yang cadangan pelanjutan PKPP dibuat atas ramalan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) yang menjangkakan pandemik virus bahaya itu hanya akan berakhir dua tahun lagi.

Malaysia melaporkan 9,296 kes Covid-19, daripada jumlah itu 8,994 kes sudah diisytihar pulih dan angka korban wabak negara masih kekal 125 orang. – 28 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen