Kluster Sivagangga buat ibu bapa takut hantar anak ke tadika


Angie Tan

Semakin ramai ibu bapa di tiga negeri utara Semenanjung bimbang menghantar anak mereka kembali ke tadika. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

SEMAKIN ramai ibu bapa di Kedah tidak lagi menghantar anak mereka ke pra sekolah kerana bimbang dengan lonjakan kes Covid-19 di negeri itu sejak beberapa minggu lepas.

Kebanyakan ibu bapa kanak-kanak berusia antara tiga hingga empat tahun itu percaya tindakan itu tidak akan menjejaskan keupayaan pembelanjaran anak mereka dan percaya lebih selamat untuk berada di rumah.

Bagaimanapun, ibu bapa kanak-kanak berusia antara lima dan enam tahun yang akan memulakan pengajian sekolah rendah tahun depan pula dikatan sedang memantau rapi perkembangan Kluster Sivagangga yang sudah menyebabkan lima buah sekolah terpaksa ditutup.

Antara kes jangkitan kluster itu termasuklah dua pelajar sekolah berusia tujuh dan 10 tahun.

Wabak di negeri Jelapang Padi itu sudah mula terkawal sehinggalah Kluster Sivagangga dikesan, sejak itu sekurang-kurangnya satu lagi kluster lain dan lonjakan kes jangkitan mula dilaporkan di negeri itu.

Khamis lepas, tiga kawasan di Aman Jaya, Kedah diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) susulan lonjakan jangkitan Covid-19 di situ. Kawasan terjejas adalah Mawar, Kenanga dan Melor dan 22,360 orang sudah menjalani saringan kesihatan.

Presiden Persatuan Guru Tadika Malaysia Sally Ng berkata kehadiran di tadika hanya sekitar 80% sejak institusi pra sekolah seluruh negara mula dibuka pada 1 Julai lalu.

Katanya, kehadiran tidak pernah mencapai 100% kerana ibu bapa memilih menjaga anak mereka di rumah kerana bimbang isu keselamatan.

“Bila tadika mula dibenarkan buka semula pada Julai, ibu bapa mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Mereka mahu perhati situasi dahulu dan ramai memilih untuk tidak hantar anak mereka lagi buat masa ini.

“Bila situasi mula bertambah baik bulan ini, ramai yang mula perlahan-lahan kembali menghantar anak mereka ke kelas.

“Kemudian kita dikejutkan dengan jangkitan baharu ini dan kita kembali ke situasi lama (tak hantar anak),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ng juga berkata kebimbangan keselamatan bukan satu-satunya faktor kehadiran rendah.

Jelasnya, ada ibu bapa yang kewangan terjejas teruk kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) membuat keputusan tidak lagi menghantar anak mereka ke tadika.

Kebanyakan ibu bapa yang anak mereka akan memulakan pendidikan rendah tahun depan masih tunggu dan lihat perkembangan semasa jangkitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2020.

Presiden Persatuan Guru Tadika Kedah dan Perlis Woon Bek Poon pula berkata ibu bapa juga terkesan dengan berita palsu mengenai situasi wabak di kawasan utara Semenanjung itu.

“Biasalah ibu bapa bimbang tetapi ada antara mereka yang takut kerana berita palsu mengenai pelajar tadika dijangkiti.

“Mereka beranggapan seluruh Kedah dijangkiti (tak selamat).”

Woon berkata 70 buah tadika ahli persatuan masih beroperasi seperti biasa dengan jumlah kehadiran sekitar 97% sahaja.

Presiden Persatuan Guru Tadika Pulau Pinang Sally Ng pula berkata sekiranya kes jangkitan terus naik di negeri itu, banyak tadika akan terpaksa gulung tikar.

“Jika ada lagi jangkitan (kes naik), ibu bapa pasti tidak berani hantar anak mereka ke kelas. Jika kes jangkitan terus bertambah, pengendali tidak lagi mampu menyerap kos dan akhirnya terpaksa menutup operasi.”

Katanya, wabak Covid-19 menyebabkan wujud pertambahan kos operasi kerana pengendali tadika perlu mematuhi garis panduan keselamatan dan kesihatan bagi mencegah penularan dalam kalangan pelajar. 

“Selain kanak-kanak, kami juga perlu menjaga ibu bapa kanak-kanak yang menghantar mereka ke sekolah.

“Ibu bapa boleh terdedah kepada virus di tempat kerja mereka.”

Tambah Woon lagi, langkah pencegahan juga diamalkan kakitangan tadika.

Misalnya, sekiranya mereka memohon cuti tahunan, kakitangan dimaklumkan tentang langkah pencegahan bagi mengelak membawa virus ke sekolah bila kembali bekerja.

“Malah ketika cuti umum, kami juga mengingatkan guru supaya tidak melakukan perjalanan rentas negeri.

“Jika mereka buat (perjalanan rentas negeri), mereka perlu jalani kuarantin 14 hari dan kembali bekerja selepas disah bebas daripada sebarang jangkitan.”

Kluster Sivagangga pertama kali dilaporkan 28 Julai lalu dimulai kes indeks seorang pemilik restoran berusia 57 tahun di Kedah yang melanggar arahan kuarantin di rumah sehingga wabak itu kembali meledak dan merebak ke tiga negeri utara Semenanjung.

Lelaki tersebut sudah didakwa kerana melanggar arahan kuarantin rumah, dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000. – 28 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen