3 zon di Kedah bawah PKPD


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Kanan Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD akan membabitkan zon Kenanga, Mawar dan Melur berkuat kuasa tengah malam ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.

TIGA zon di Aman Jaya, Kedah diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran berkuat kuasa tengah malam ini susulan lonjakan kes Covid-19, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata pelaksanaan PKPD akan membabitkan zon Kenanga, Mawar dan Melur.

“PKPDP ini berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, 28 Ogos 2020 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata seramai 22,360  penduduk di tiga zon berkenaan akan disaring oleh petugas KKM.

“PKPD Secara Pentadbiran ini akan melibatkan 22,360  individu membabitkan 265 rumah,” tambah beliau. 

Menurutnya lagi, penduduk tidak dibenarkan keluar dari zon terbabit dan orang luar tidak dibenarkan masuk sepanjang tempoh PKPD.

“Individu yang bekerja di luar dari kawasan PKPD, mereka tidak dibenarkan keluar untuk bekerja ke luar kawasan PKPD.

“Jika ada yang dari luar yang bekerja di kawasan PKPD sekalipun tidak dibenarkan untuk datang bekerja. ” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan majikan supaya tidak mengambil tindakan ke atas pekerja yang tidak dapat datang bekerja disebabkan PKPD.

“Ini adalah perintah kerajaan, yang menyebabkan mereka tidak boleh keluar bekerja. Bagaimanapun, kita menggalakkan pekerja bersama majikan berbincang untuk bekerja dari rumah.”

Selain itu, rumah ibadat dan sekolah juga telah diarahkan tutup mulai esok, kata Ismail Sabri.

“Tempat awam seperti masjid dan rumah-rumah ibadat  yang lain, serta yang berkaitan dengan pendidikan seperti sekolah, tadika, taska dan pusat tuisyen tidak dibenarkan beroperasi.”

Bagi premis perniagaan pula, hanya yang menyediakan perkhidmatan perlu seperti restoran, kedai runcit, farmasi dan stesen minyak sahaja dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

Bagaimanapun, hanya perkhidmatan bawa pulang sahaja dibenarkan untuk premis makanan.

“Klinik dan hospital dibenarkan beroperasi 24 jam,” kata Ismail Sabri. – 27 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen