Tutup sekolah jenis kebangsaan tidak adil, tidak berasas


KENYATAAN Wan Ahmad Fayshal mahu sekolah vernakular dihapuskan secara berperingkat bersifat mengapi-apikan ketegangan kaum dan harus disiasat. 

Sekolah vernakular sudah lama menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara kita, dan sudah lama dipantau dan diselenggara oleh kerajaan Malaysia. 

Guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah vernakular melalui latihan kursus formal selama empat tahun di Institut Perguruan Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Adakah Wan Ahmad Fayshal sedar akan perkara ini?

Adakah kenyataan bahawa sekolah-sekolah vernakular mewujudkan anak-anak yang tidak berpatiotik bermaksud semua guru-guru yang mengajar di sekolah vernakular adalah tidak berpatriotik juga?

Sekolah vernakular iaitu SJKT/SJKC hanya meliputi 15-16% daripada bilangan Sekolah Rendah Kebangsaan dalam sistem pendidikan di seluruh negara. 

Bagaimanakah angka ini, yang begitu rendah berbanding bilangan Sekolah Rendah Kebangsaaan boleh menghasilkan satu kesimpulan bahawa sekolah satu aliran menyebabkan kurangnya perpaduan di negara ini?

Adakah kesimpulan ini berasas berdasarkan fakta yang dipersembahkan? Semestinya tidak.

Tidak masuk akal

Sekolah vernakular adalah sebahagian daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Ia mengunakan kurikulum kebangsaan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, guru-guru dilatih dan ditempatkan di setiap sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Guru yang mengajar merupakan kakitangan kerajaan Malaysia.

Setiap sekolah vernakular memberikan keutamaan kepada nilai-nilai murni yang penting sebagai rakyat Malaysia seperti Rukun Negara, semangat perpaduan serta tanggungjawab kepada negara.

Murid-murid sekolah vernakular mula mengambil subjek sejarah sama seperti murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan pada Tahun 4 dan kandungan kurikulumnya adalah sama dan mula mempelajari Bahasa Melayu sejak Tahun 1.

Di manakah wujudnya agenda anti-nasionalis yang diperkatakan oleh timbalan menteri ini?

Bukankah isu ini telah dipermainkan banyak kali hanya untuk mewujudkan ketegangan kaum di negara kita. Perkara ini tidak akan diambil mudah dan ringan oleh masyarakat India dan Tionghua lagi-lagi apabila diketengahkan ketika bulan Merdeka.

Majlis Penasihat Hal Ehwal Masyarakat India ingin membangkitkan kepada YAB perdana menteri dan Jemaah Menteri, apakah pendirian beliau dan kerajaan PN terhadap perkara ini.

Adakah sistem pendidikan vernakular akan menjadi bahan politik murahan bagi anggota pentadbiran PN seperti Wan Ahmad Fayshal?

Adakah perdana menteri sanggup mendisiplinkan anggota pentadbiran saperti Wan Ahmad Fayshal supaya jangan ulang perkara ini?– 27 Ogos, 2020


* V Sivakumar merupakan ahli Parlimen Batu Gajah dan pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Majlis Penasihat Hal Ehwal Masyarakat India.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen