Saksi lain akan dipanggil bantu siasatan menteri langgar kuarantin, kata KPN


Zaim Ibrahim

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberi jaminan kes menteri langgar perintah kuarantin akan dijalankan seperti prosedur siasatan biasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.

BEBERAPA saksi lain akan dipanggil bagi membantu siasatan kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang melanggar perintah kuarantin, kata Abdul Hamid Bador.

Ketua Polis Negara itu turut memberi jaminan kes tersebut akan dijalankan seperti prosedur siasatan biasa.

“Beberapa orang saksi yang mana difikirkan tahu tentang kesalahan itu berlaku akan dipanggil. 

“Pegawai penyiasat akan rakam kenyataan dan jawab persoalan. Saya percaya individu yang ada kaitan atau mempunyai pengetahuan tentang kes itu akan dipanggil untuk dirakam kenyataan. Itu proses biasa,” katanya dalam satu sidang media di Georgetown.

Menurutnya, beliau tidak akan memberi tekanan kepada pegawainya untuk menyiasat kes itu supaya ia dijalankan secara profesional.

“Berapa lama siasatan kes ini akan berlangsung adalah perkara yang subjektif sebab saya yakin prosesnya melibatkan beberapa tapisan pihak yang diberikan tanggungjawab.

“Jadi saya tidak boleh berikan sehari atau dua hari (untuk siasatan diselesaikan), sudah semestinya mana-mana pegawai penyiasat akan berusaha menyelesaikan siasatan dengan secepat mungkin

“Saya pun tidak mahu menekan pegawai saya supaya kes dijalankan secara profesional,” katanya.

Khairuddin diminta hadir di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki Julai lepas.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lepas atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Beliau sepatutnya menjalani kuarantin wajib 14 hari sekembali dari Turki tetapi menghadiri beberapa acara termasuk sidang Parlimen pada 13 Julai lalu.

Beliau kemudian memohon maaf dan berjanji akan memberikan empat bulan gajinya sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) dibawah Kementerian Kesihatan.

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun melihat gaji empat bulan itu tidak boleh menutup kesalahan Khairuddin.

“Jangan cuba untuk membayar dengan empat bulan gaji. Ini bukan isunya, (soalnya) maruah menteri yang sedar langgar peraturan dibuat Kementerian Kesihatan,” katanya.

Bekas menteri industri utama Teresa Kok merupakan individu terawal membangkitkan perkara tersebut dalam Dewan Rakyat minggu lalu.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pula mempertahankan Khairuddin dengan alasan antaranya walaupun tidak menjalani kuarantin, menteri itu tidak mendatangkan bahaya kerana tidak menyebabkan kluster jangkitan baharu.  – 26 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen