Bersatu sedia buka ruang ahli bukan Melayu sertai kepimpinan parti


Mohd Farhan Darwis Aminah Farid

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata kajian itu akan dilaksanakan oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai anggota MPT Bersatu Rais Yatim sebelum dibentangkan kepada MPT. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2020. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 22 Ogos, 2020.

BERSATU sedang mengkaji Perlembagaan parti itu bagi membolehkan ahli bukan Melayu dan Bumiputera menyertai barisan kepimpinan parti, kata presidennya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga perdana menteri berkata, kajian itu akan dilaksanakan oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Rais Yatim sebelum dibentangkan kepada MPT.

“Dalam mesyuarat MPT Bersatu yang lalu, saya bawa usul untuk membolehkan ahli bersekutu menyumbang idea, bukan setakat menjadi ahli biasa, tapi berperanan beri idea dan terlibat dalam kepimpinan.

“Kita akan bentuk bahagian baharu dalam Bersatu, kami cadang pembentukan bab baru yang membolehkan ahli bersekutu memegang jawatan dan menyumbang idea untuk memajukan parti,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Negara 2020 yang turut menyaksikan penyertaan 10 ahli Parlimen bekas PKR ke dalam Bersatu.

Antaranya termasuk ahli Parlimen Segamat S Santhara Kumar yang sudah menyertai parti itu pada awal bulan ini.

“Satu jawatankuasa dibentuk dan akan kemuka kepada saya dan dibawa ke MPT. Sekiranya diterima, kita akan adakan perhimpunan agung luar biasa untuk pinda Perlembagaan Bersatu agar ia dapat dilksanakan,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada Santhara atas penyertaannya.

“Tahniah kepada Santhara kerana sertai Bersatu…sebab itu Islam atau bukan Islam dan Melayu  tak sepenting matlamat kita.

“Kita berada dalam satu saf untuk tentukan cita-cita negara dan bangsa dapat dilaksanakan atas dasar kesedaran untuk maju,” kata Muhyiddin.

Sementara itu, Menteri Kanan Azmin Ali yang ditemui media selepas majlis pelancaran itu ketika ditanya mengenai pengumuman pembukaan Bersatu kepada ahli bukan Melayu berkata, ia adalah bukti komitmen mereka terhadap pembaharuan institusi dan politik.

“Kami komited kepada pembaharuan institusi dan politik. Ini adalah pengumuman besar yang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin putuskan yang Bersatu patut dibuka. Kita perlukan parti pelbagai kaum selepas 60 tahun Merdeka. Kita perlu bergerak daripada parti berasaskan kaum dan agama kepada parti pelbagai kaum,” katanya dipetik berkata.

Menurutnya lagi, ketika Bersatu diasaskan pada 2016, matlamatnya adalah memperjuang dan membantu golongan Bumiputera, tetapi sekarang ia memutuskan untuk berubah.

“Selaku presiden parti (Muhyiddin), beliau mampu yakinkan kepimpinan Bersatu yang ini adalah cara ke depan untuk membolehkan kewujudkan kerajaan yang kuat dan berwibawa,” katanya. – 22 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen