SKMM akan siasat The Malaysian Insight yang didakwa hina PM


Diyana Ibrahim

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak mengesahkan sudah menerima laporan mengenai The Malaysian Insight ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno ke-71 yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Disember, 2017.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menyiasat The Malaysian Insight jika ia ada melanggar mana-mana undang-undang dalam laporannya yang didakwa menghina Perdana Menteri Najib Razak.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap SKMM, Salleh Said Keruak bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus laman web itu akan disiasat mengikut akta mana.

“Saya juga dengar tadi ucapan perwakilan Pulau Pinang (mengenai The Malaysian Insight),” katanya yang juga menteri komunikasi dan multimedia kepada wartawan ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau mengesahkan SKMM sudah menerima laporan berkenaan, menambah siasat sudah tentu akan dibuat jika laman web itu melanggar undang-undang.

Salleh berkata demikian ketika mengulas mengenai gesaan perwakilan Pulau Pinang Umno Mohd Nashrol Hisham Abdullah untuk menyiasat The Malaysian Insight.

Nashrol membuat gesaan tersebut ketika membahaskan ucapan dasar presiden di PAU hari ini.

Semalam, perwakilan Johor, Haliza Abdullah turut membuat gesaan yang sama dalam perbahasannya.

Terdahulu, Nashrol berkata kepada ahli Umno akar umbi bahawa serangan terhadap presiden parti tidak harus dibiarkan berterusan.

Namun, perwakilan itu tidak menjelaskan secara terperinci artikel mana yang didakwa menghina Najib.

Malah, tiada sebarang aduan yang dibuat ke atas The Malaysian Insight terhadap tuduhan tersebut.

Nashrol dalam ucapannya turut mendakwa The Malaysia Insight dimiliki oleh Faridah Begum.

Faridah merupakan kakak pengarang dan pengarah pengurusan The Malaysian Insight, Jahabar Sadiq.

Faridah juga merupakan isteri kepada Peguam Negara Mohamed Apandi Ali. – 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen