Parti Pejuang sukar dapat sokongan di Langkawi, kata pengundi


Zaim Ibrahim

Pejuang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad selepas kumpulannya disingkir daripada Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2020.

PARTI baharu Dr Mahathir Mohamad sukar dapat sokongan penduduk di Langkawi, tidak seperti Bersatu yang diketuainya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), berdasarkan tembubual rambang The Malaysian Insight bersama pengundi.

Pengundi yang memilih Dr Mahathir di Langkawi dalam PRU14 malah memberitahu The Malaysian Insight, mereka mungkin tidak akan memilih Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana tidak jelas tujuan parti itu perlu ditubuhkan.

Mereka merasakan keputusan bekas perdana menteri menubuhkan parti baharu bukan saja tidak tepat, tetapi sukar mengatasi parti-parti Melayu lain yang kini bergabung atas nama Muafakat Nasional.

Anak jati Langkawi Putra Iqmal Hashim berkata Pejuang mungkin sukar dapat sokongan rakyat walaupun nama Dr Mahathir popular di pulau bebas cukai itu.

“Apabila Pas dan Umno bergabung (dalam Muafakat Nasional) sejak tahun lepas, mereka sudah menjadi gabungan yang kuat.

Negarawan Dr Mahathir Mohamad kini dipersoal pengundi Langkawi kerana menubuhkan parti baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2020.

“Berdasarkan pemerhatian saya, orang Langkawi pun memang mahu Umno dan PAS bergabung terutama dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dr Mahathir minggu lalu mengajak rakyat Malaysia yang benci rasuah untuk menyertai Pejuang, selepas partinya Bersatu dikuasai oleh Presiden Muhyiddin Yassin yang juga perdana menteri.

Parti itu semalam mengemukakan permohonan untuk didaftarkan secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan, yang dihantar oleh sekumpulan pemimpin parti diketuai presidennya Mukhriz Mahathir.

Pejuang juga semalam mendedahkan logo parti berupa huruf jawi “pa” yang berbentuk seakan-akan perisai berserta tiga titik di atasnya, mewakili Rukun Iman, Rukun Islam dan Rukun Negara. Logo berwarna biru pantone itu mempunyai tulisan “Pejuang” bertulis dengan warna hitam di bawahnya.

Hilang percaya

Jelas Putra Iqmal, berdasarkan pengamatannya, penduduk Langkawi juga hilang percaya kepada Dr Mahathir kerana ada beberapa manifesto ketika PRU lalu tidak ditunaikan.

“Pada awal penubuhan Bersatu mahu tumbangkan Najib Razak, tetapi kini tidak sehaluan dengan Muhyiddin dan sekarang mahu tubuh parti baharu. 

“Rakyat Langkawi sukar faham motif sebenar Dr Mahathir walaupun beliau dihormati sebagai negarawan ulung,” katanya.

Dr Mahathir yang jadi wakil rakyat sejak 1960-an pertama kali bertanding di Langkawi pada pilihan raya umum lepas dan menang.

Namanya popular di Langkawi kerana semasa jadi perdana menteri antara 1981 dan 2003, beliau memainkan peranan besar menukar pulau itu menjadi pusat tumpuan pelancongan antarabangsa.

Mohd Ikhwan Mohd Sanusi dari Sungai Menghulu, Langkawi pula berkata beliau dan rakan-rakannya belum berminat untuk menyertai Pejuang.

Mereka hairan kenapa Dr Mahathir menubuhkan sebuah parti baharu sedangkan beliau sebelum ini mengkritik orang Melayu yang gemar mendirikan parti politik hanya kerana mahu memegang jawatan.

Tindakan PAS bekerjasama dengan Umno yang mengetuai Barisan Nasional mewujudkan gabungan parti Melayu Islam yang berpengaruh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2020.

“Dulu Dr Mahathir sendiri kata “orang Melayu ni dia tak pandai berpolitik, dia seronok nak jadi presiden, bila nak jadi presiden dia buka parti”,” katanya.

Ikhwan merujuk kenyataan penjelasan Dr Mahathir pada Julai 2019, semasa mempelawa parti-parti Melayu agar menyertai Bersatu.

“Kami juga masih tertanya-tanya mengapa Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri (pada hujung Februari 2020)... kerana beliau beri banyak alasan tetapi tidak kukuh,” tambahnya.

Dr Mahathir sebelum ini berkali-kali menjelaskan beliau bukannya letak jawatan atas kehendak sendiri tetapi partinya Bersatu ketika itu membuat keputusan keluar dari gabungan Pakatan Harapan (PH), termasuk minggu lalu di Dewan Rakyat.

“Apabila parti Bersatu keluar daripada PH maka PH pun jatuh tak jadi kerajaan lagi.

“Jadi macam mana saya nak letak jawatan lagi, saya dah tak ada jawatan.

“Ini saya fikir payah nak difahami… diulang perkara ini berkali-kali macam tak boleh dengar ke tak tahu lah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Langkawi Amar Pared berkata beliau tidak berminat untuk menyertai gerakan baharu Dr Mahathir walaupun dahulu menyokong perjuangan bekas pengerusi parti itu.

Baginya, ia akan merugikan dan menyebabkan lebih banyak parti berasaskan kaum Melayu.

Dr Mahathir Mohamad ada tugas besar, memastikan sokongannya di Langkawi tidak surut kerana Pejuang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2020.

“Jika setiap parti ada masalah, ahli keluar dan tubuh parti baru, berapa banyak parti akan ada? apa rakyat akan fikir? Pemimpin ini berjuang dalam parti untuk rakyat atau diri sendiri?”

“Apabila tiga parti Melayu terbesar sudah bergabung dan berdamai, mestinya itu adalah pilihan rakyat yang terbaik,” katanya, merujuk pengumuman Bersatu turut menyertai Muafakat Nasional.

Muhyiddin minggu lalu mengumumkan Bersatu akan menyertai Umno dan PAS dalam muafakat yang dibentuk sejak September 2019.

Amar menjelaskan, parti baharu seperti Pejuang akan sukar meraih sokongan rakyat kerana sentimen rakyat lebih menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Kerajaan pada hari ini sudah laksanakan tanggung jawab yang terbaik dalam menjaga kebajikan rakyat tatkala kita diuji dengan wabak Covid-19 yang belum ada penghujungnya.

“Tetapi sebagai negara demokrasi, rakyat bebas memilih mana-mana parti politik sebagai wadah perjuangan dan ideologi mengikut kehendak individu masing-masing,” tambahnya.

Logo Pejuang iaitu huruf jawi “Pa” yang berbentuk seakan-akan perisai berserta tiga titik di atasnya dan mempunyai tulisan “PEJUANG” berwarna hitam di bawahnya. Tiga titik mewakili Rukun Iman, Rukun Islam dan Rukun Negara.– 20 Ogos, 2020.

Dalam pada itu, Shukor Bahari yakin Pejuang mampu menggantikan Bersatu di Langkawi kerana tiada pemimpin mampu menandingi populariti Dr Mahathir di pulau itu.

“Dr Mahathir tidak ada pilihan selain membina parti baru kerana beliau sendiri kehilangan keahlian daripada Bersatu demi prinsip perjuangan menentang kleptokrasi.

“Untuk masuk Umno, tidak mungkin sama sekali. Jadi idea menubuhkan parti baru adalah pilihan yang tepat,” katanya.

Beliau mendakwa lebih 2,000 ahli Bersatu Langkawi hanya menunggu masa untuk menyertai Pejuang.

“Jika PRU diadakan, saya yakin Dr Mahathir masih kekal di Langkawi kerana ramai pengikut beliau di sini,” katanya. – 20 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen