Hubungan dialektikal dalam 'Mencari Al-Haq'


Zainulfaqar Yaacob

“AKU berdiri di lereng bukit. Khayal melayan gelombang ombak menghempas diri. Ingin membenamkan dinding dan kaki bukit di persisiran pantai. Bertubi-tubi membanting diri, berderai dan berkocak lalu ditelan ombak yang mendatang. Gumpalan awan masin terapung-apung bak buih sabun berlegar, berdansa, terus menjunam ke permukaan air. Kaki dan dinding bukit tetap bertahan, berpedoman hujah keramat, ‘kalau takut basah jangan duduk di tepi pantai’.

Bagus falsafah itu, ringkas tapi cukup bermakna. Aku percaya hentakan ombak persis merapuhkan tembok bukit yang menegak megah itu. Sudah menjadi lumrah alam, di mana laut tetap bergelora, membanting diri dan kaki bukit, terus menular di persisiran pantai.” (Mencari Al-Haq, halaman 1).

Kalau terbaca mudah perenggan pertama “Mencari Al-Haq” sahaja, kita mungkin menyangka karya terbaru Dr Nasir Hashim, 71, ini adalah sebuah novel.

Umumnya, “Mencari Al-Haq” mengupas mengenai tanda-tanda alam dan makna yang penting untuk diri, dalam mencari kebenaran.

Di sebalik mengenal tanda-tanda alam dan makna yang penting untuk diri, Dr Nasir, seorang ahli nutrisi mampu menghanyutkan pembaca pada hakikat sebab kalimah Allah.

“Allahuwa”

Secara abjadiyah, semua orang awam seperti kita umumnya tahu perkataan “Allah” terdiri oleh huruf alif (ا) lam (ل) lam (ل) ha (ه).

Menurut Nasir, golongan sufi, melihat kalimah Allah (الله) itu mempunyai enam huruf iaitu alif (ا) lam (ل) lam (ل) alif (ا) ha (ه) wau (و) termasuk sabdu/tasydid (ّ ) - membawa istilah “Allahuwa” (rujuk halaman 38 & 39).

Menurutnya, terdapat tanda-tanda pada tiap-tiap huruf akan membawa pada makna penting untuk diri, dalam mencari kebenaran atau Al-Haq.

Menariknya, kupasan Nasir mengenai tanda-tanda pada “lam” pertama dan “lam” kedua dalam kalimah Allahuwa dimaknakan sejajar dengan ayat “dhul jalaali wal ikram” (ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ) iaitu Tuhan pada dua (sifat) percanggahan.

Tanda “lam” pertama dimaknakan sebagai nama sifat Allah “al-Jamal” (lembut), manakala, “lam” kedua dimaknakan sebagai Al-Jalal (kekerasan/keagungan/kemurkaan). (rujuk halaman 53)

Manakala, tanda sabdu atau tasydid mengingatkan kita bahawa “lam” pertama dan “lam” yang kedua sama sekali tidak dapat dipisahkan.

Daripada tanda-tanda yang dimaknakan inilah “tugas kita adalah saling mengimbang atau mengharmonikan kedua-dua sifat yang bertentangan dan saling mempengaruhi ini (hubungan dialektikal) menuju kesempurnaan/penyatuan/penyatuan/Kamal/tauhid (Alif Ghaib)” (rujuk halaman 40 & 41).

Bagi saya, buku Mencari Al-Haq ini tidak terbatas pada melihat tanda-tanda serta makna di sebalik kalimah Allahuwa, malah falsafah “hubungan dialektikal”.

Hubungan dialektikal

Ada banyak buku ilmiah dan falsafah dihasilkan oleh Nasir.

Tapi, saya secara peribadi telahpun membaca dua karya lain beliau sahaja, iaitu “Spiritualiti, Fizik Kuantum dan Manusia” (2016) dan “Memperkasa Rakyat: Analisis dan Perjuangan” (2017).

Berbanding dua buku itu, bagi saya, ulasan mengenai hubungan dialektikal dalam karya “Mencari Al-Haq” lebih mudah difahami (walaupun saya masih mencari makna sebenar yang tuntas dan jelas dalam psiki Melayu Malaysia).

Keseimbangan hubungan dialektikal adalah antara sifat yang bertentangan dan saling mempengaruhi, contohnya Al-Jamal dan Al-Jalal yang menjadi antara 99 sifat Allah (rujuk halaman 57).

Selain itu, membaca “Mencari Al-Haq” ini akan mengheret kita membayangkan Nasir kalau tidak mengajar pembaca pun, beliau seakan mengasuh dirinya untuk tidak terus berputus asa mencari makna kebenaran dalam dirinya sendiri.

Dan, hubungan dialektikal merupakan salah satu jalan untuk memburu Al-Haq atau kebenaran, seperti dalam ulasan beliau di bawah:

“Selain merujuk kepada mukjizat abjad istilah Allahuwa, kita dikukuhkan lagi dengan faham terhadap ungkapan ‘mengenal diri sendiri’.

“Al-Quran menyuruh kita saksikan di ufuk-ufuk dunia dan pada diri sendiri dan dengan itu kita mengenal Kebenaran/Al-Haq (Surah Fussilat 41:53).

“Ayat ini memberitakan bahawa kita berpeluang mengenal jiwa-hati, naluri-fitrah insani dan roh yang merangsang dan membantu kita melakukan kebaikan dan berkebajikan.

“Maka rangsangan ini memudahkan kita dengan tertib, tenang dan beriman.

“Namun begitu, proses menyatukan zahir dan batin ini sering menempuhi pelbagai cabaran dan memerlukan latihan demi latihan kecuali Allah sudah menganugerahkan kita dengan hidayah dan ilmu melalui laduni atau kasyaf.

“Sebenarnya kita mengenali hubungan dialektika (sifat-sifat yang bercanggah dan saling mempengaruhi) selepas berlalunya ‘Letupan Besar’ dan terciptanya alam semester.

“Maka wujudlah kiasan tentang langit (kebaikan) dan bumi (kejahatan) dan timbullah hubungan dialektikal pada abjad ‘lam’ pertama dan ‘lam’ kedua (bersama sabdu/tasydid) dalam istilah Allahhuwa” (rujuk halaman 51 & 52).

Kesufian

Komunisme didakyah tidak percaya Tuhan atau Atheis, maka faham Sosialisme juga dituduh sebegitu. Tapi, pada peribadi Nasir sebagai pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) adalah sebaliknya.

Dalam buku Mencari Al-Haq ini, Nasir dilihat seakan begitu gigih dalam beragama (Islam), hatta seolah-olah begitu dalam menempuh alam kesufian secara hubungan dialektik ini, apabila membicarakan Wahdatul Wujud dan Wahdatul Shuhud serta Ana Al-Haq.

Bicara kesufian ini mengingatkan pada pengalaman Ibnu ‘Arabi, Sheikh Siti Jenar dan Al-Hallaj.

Nasir seakan percaya kebenaran manusiawi boleh dicapai apabila kita semakin mengenal tanda-tanda alam serta makna sebenarnya, seperti ahli sufi mencari Al-Haq.

Uniknya Nasir, dalam buku ini, turut mengaitkan hubungan dialektikal ini dengan cabaran yang dihadapi oleh rakyat terbanyak termasuk umat Islam sendiri.

“Kesanggupan kita menjadi hamba kepada Allah begitu unik sekali kerana Allah tidak meraih apa jua keuntungan atau kerugian dalam hubungan itu.

“Sebaliknya, bila segolongan besar manusia menjadi hamba kepada segelintir manusia yang lain, mereka selaku pekerja-pekerja kepada tuan tanah atau kapitalis, akan ditindas habis-habisan dengan tujuan meraih keuntungan, bergelumang dalam kemewahan dan mengekalkan kedudukan mereka yang teristimewa itu.

“Sekaligus tindakan mereka ini, sengsarakan dan memiskinkan lagi lagi rakyat yang miskin.” (rujuk halaman 47-48)

Membaca “Mencari Al-Haq” akan memberi kefahaman kepada kita, kenapa Nasir dan komrad PSM yang lain senantiasa lantang berpihak kepada rakyat terbanyak, yang ditindas sama ada oleh kerajaan pusat hatta kerajaan negeri “oposisi” tertentu.

Wacana

Petang ini, di Seniloka Art Festival, Nasir sendiri akan membaca petikan “Mencari Al-Haq”, manakala Pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi dan program Lepak Maqasid, Wan Ji Wan Hussein At-Ta’addudi diberi tanggungjawab untuk mengulasnya.

Saya, sebagai moderator wacana itu tentulah akan mengajukan jua soalan mengenai beberapa pandangan politik dalam buku “Mencari Al-Haq”.

Antaranya, hubungan dialektikal dalam buku ini yang saling tak tumpah mirip dengan konsep simbiotik, iaitu berkisar mengenai persoalan tanda-tanda serta makna sebenar mengenainya.

Semalam, Wan Ji sendiri bertanya, antara tanda-tanda dan makna yang sebenar, seperti ditonjolkan dalam buku Nasir ini, yang mana dahulu dan yang mana kemudian?

Katanya, tidak mungkin tanda-tanda itu terlebih dahulu wujud disusuli makna.

Katanya lagi, patut makna itu mesti wujud dan tanda-tanda yang wujud kemudian itu hanyalah sekadar menjelaskan makna sebenarnya.

Ulasan Wan Ji seakan skeptik dengan tulisan Nasir, yang membawa mesej mengenai tanda-tanda alam dan makna yang penting untuk diri, dalam mencari kebenaran.

Konsekuensinya, saya menyebut, inti karya terbaru Nasir ini sebagai “Hubungan Dialektikal dalam Mencari Al-Haq”.

Dalam wacana selama satu setengah jam nanti, sebelum sesi tamat, akan saya paksa diri juga bertanya Nasir: Dah jumpa Al-Haq? – 9 Disember, 2017.

* Lepak Maqasid: Reading Session akan membicarakan buku Mencari Al-Haq dalam Seniloka Art Festival, di Armenian Park, George Town, Pulau Pinang, 9 Disember 2017, 1.30 petang.

 

END

* Zainulfaqar Yaacob suka mengulang dengar lagu rock She’s Gone dendangan kumpulan Steelheart sejak kematian isteri muda cantik jelita pada Januari 2017 akibat barah. Masa lapangnya dihabiskan dengan melaksanakan D.E.K.P.O.S atau Diskusi Ekonomi Politik Sosial iaitu projek wacana kecil-kecilan secara peribadi, dan menulis juga di blog faqar.blogspot.com

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen