Jadi sasaran hanya kerana saya isteri Guan Eng, kata Betty


Kamles Kumar

Betty Chew bersama suami, Lim Guan Eng pada sidang media hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2020.

SAYA dituduh korup hanya kerana saya isteri bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, kata Betty Chew.

Chew awal hari ini mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berasingan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla).

Katanya, pihak berkuasa sengaja menjadikannya sasaran dan cuba memusnahkan keluarga yang selama ini jadi penyokong kuat Lim.

“Awak mahu rosakkan hubungan saya dengan Lim Guan Eng, supaya dia akan biarkan saya pergi. Awak mahu musnahkan dia sebagai seorang lelaki.

“Mereka cipta tuduhan mengarut dan tak berasas terhadapnya, terhadap saya. Niat mereka adalah untuk ‘patahkan’ dia, ‘patahkan’ saya dan pecah belahkan keluarga kami,” kata Chew pada sidang media hari ini sambil menahan tangis.

Beliau juga meluahkan rasa terkejut apabila pendakwaan membuat tiga pertuduhan berasingan mendakwa beliau menerima wang melalui cara tidak sah.

“Kenapa sampai tiga pertuduhan Amla? Saya bukan Tai Ka Che atau Kak Long kawasan. Saya tergamam. Adakah ia hanya kerana saya isteri Lim Guan Eng?” tanya Chew.

Chew yang juga seorang peguam bertanya sekiranya keluarganya dituduh sebegini, adakah keluarga lain di Malysia juga akan berdepan nasib sama.

“Ia sangat teruk dan hari menyedihkan untuk Malaysia.

“Jika ini boleh berlaku kepada saya, keluarga saya, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di Malaysia. Jika mereka boleh kenakan kami, mereka boleh kenakan awak juga,” kata Chew.

Chew, 56, menambah yang beliau dan keluarga akan terus menyokong Lim kerana mereka percaya setiausaha agung DAP itu tidak bersalah.

Lim didakwa hari ini menggunakan kedudukan untuk suapan bagi Chew melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu didakwa menggunakan kedudukannya bagi memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd, syarikat dikaitkan dengan Phang Li Koon mendapat jemputan kertas cadangan projek asrama pekerja di Batu Kawan dan Juru.

Chew pula didakwa menerima tiga transaksi wang daripada Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadinya di Public Bank berdaftar di Melaka.

Beliau dituduh menerima RM87,009 antara Oktober 2013 dan Ogos 2014.

Pertuduhan kedua melibatkan wang berjumlah RM180,000 antara September 2014 dan Ogos 2015.

Manakala, pertuduhan ketiga melibatkan RM105,000 antara September 2015 dan Mac 2016.

Chew mengaku tak bersalah untuk semua pertuduhan. – 11 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen