Di mana RM3.3 juta itu, Guan Eng tanya SPRM


Kamles Kumar

Lim Guan Eng pada sidang media selepas hadir berdepan pertuduhan di Pulau Pinang, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

BEKAS menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata pegawai SPRM tidak bertanyakan beliau tentang wang RM3.3 juta yang didakwa suapan diterimanya daripada projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu juga sekali lagi menegaskan yang pertuduhan ke atasnya bermotifkan politik.

“Ini tidak berasas dan bermotifkan politik. Sehingga sekarang, SPRM tidak tunjuk di mana duit yang saya didakwa terima itu.

“Tidak ada RM3.3 juta dalam akaun saya….tidak ada RM3.3 juta tunai dipegang saya. Di mana rasuahnya?” soal Lim pada sidang media, hari ini.

Pagi tadi, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu Consortium Zenith Construction Sdn Bhd dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Tambah setiausaha agung DAP itu lagi, SPRM tidak bertanyakan beliau tentang lokasi wang itu sehingga beliau bertanya kepada mereka.

“Bila SPRM soal siasat saya, mereka tak tanya di mana wang itu. Malah, mereka enggan bertanyakan saya soalan itu. Saya yang terpaksa tanya mereka, tetapi mereka tak jawab.”

Lim turut menekankan yang beliau akan berjuang habis-habisan membela diri di mahkamah.

“Ia tuduhan tidak berasas. Saya perlu untuk lawan di mahkamah untuk buktikan saya tak bersalah. Ini adalah proses yang saya terpaksa tempuh.”

Sidang media itu turut dihadiri antara lain, veteran DAP yang juga ayah Lim, Lim Kit Siang, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Jumaat lalu, Lim mengaku tak bersalah di Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta 10% suapan berkaitan projek lebuh raya dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Esok, Lim akan sekali lagi ke mahkamah. Kali ini bersama isterinya, Betty Chew untuk kes berasingan, dipercayai berkaitan dengan pembelian banglow pada 2015. – 10 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen