Lapor tawaran Wan Fayhsal ke SPRM, gesa Pemuda PKR


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata tindakan itu jelas merupakan pengakuan menggunakan kedudukan bagi meraih sokongan politik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

TAWARAN Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk memberi surat sokongan semasa kempen pemilihan parti perlu diadukan kepada agensi antirasuah, kata Pemuda PKR.

Ketua pergerakan itu Akmal Nasir berkata, tawaran tersebut secara terang-terangan merupakan pengakuan menggunakan kedudukan bagi meraih sokongan politik.

Oleh itu pergerakan Pemuda Bersatu, perlu mengadukan tindakan timbalan menteri belia dan sukan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

“Saya menyeru ahli Armada membuat laporan secara rasmi kepada SPRM melibatkan pemilihan beliau,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kontroversi yang timbul daripada rakaman ucapan Wan Ahmad yang tersebar di media sosial.

Berkata beliau boleh mengeluarkan surat sokongan sebagai timbalan menteri dan ketua sayap tersebut.

“Dan saya sebagai timbalan menteri, dan Insya-Allah, ketua Armada Nasional, akan permudahkan.

“Bagaimana? Saya keluarkan surat sokongan sebagai timbalan menteri, sebagai ketua Armada dan saya akan buat salinan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, untuk perkukuhkan.

“Itu guna jawatan. Jawatan ini diberi untuk permudahkan kalian. Bukan untuk saya seorang. Tapi untuk bantu kalian, bantu saya juga. Pertama, undilah saya,” katanya dalam rakaman itu.

Beliau ditunjukkan sedang berucap di hadapan beberapa individu dipercayai anggota parti dalam video yang tular di media sosial semalam.

Ia meraih pelbagai kritikan dan juga sindiran pelbagai pihak, termasuk daripada bekas menteri Pakatan Harapan (PH).

Wan Ahmad Fayhsal berkempen untuk merebut jawatan ketua Pemuda Bersatu dalam pemilihan yang akan berlangsung 16 Ogos.

Sebelum ini calon ketua Armada yang lain Muzammil Ismail juga pernah dikritik kerana meminta Menteri Besar Kedah memberi jawatan ahli lembaga pengarah agensi kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan GLC.

Beliau berkata timbalan menteri itu membawa satu senario politik yang tidak sihat kerana kementerian tersebut patut fokus mengenai masalah anak muda berdepan kesan ekonomi akibat Covid- 19.

Pada masa sama beliau turut mengulas mengenai isu pemberi maklumat dikenali Asri Janggut yang disiasat polis kerana menularkan bideo mengenai premis judi dan rokok seludup di Sungai Buloh.

Beliau mengkritik tindakan itu berkata sepatutnya polis menumpukan kepada isu yang dibangkitkan bukan menyiasat pemberi maklumat.

“Tindakan sedemikian jika tidak diurus dengan baik boleh menghakis kredibiliti pihak berkuasa, mengurangkan keyakinan  orang ramai berkongsi maklumat kepada PDRM serta menghukum pemberi maklumatZ

“Sedangkan penjenayah sebenar masih bebas dengan kegiatan haram,” katanya.

Oleh itu beliau PKR bersedia menawarkan khidmat guaman kepada pendedah maklumat tersebut sekiranya berdepan dengan tindakan undang- undang. – 10 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen