Kenapa KPN tidak mahu jumpa saya, tanya Indira Gandhi


Noel Achariam

Indira Gandhi berkata sejak perintah Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 arah bekas suaminya pulang anak mereka, tidak ada perkembangan langsung dalam mendapatkan Prasana. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Ogos, 2020.

M Indira Gandhi, seorang wanita yang mencari anaknya selama lebih sedekad, mempertikaikan kenapa beliau tidak diendahkan oleh ketua polis selepas dijanjikan yang beliau akan bertemu kembali dengan anak perempuannya.

Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador menjanjikan “akhir bahagia” kepada Indira selepas anak bongsunya Prasana Diksa diambil oleh bekas suaminya, 12 tahun lalu.

Hamid sebelum ini meyakinkan Indira yang wanita itu akan disatukan bersama anaknya itu.

Beliau kemudian berkata polis tahu di mana bapa dan anak itu berada dan menggesa supaya mereka tampil supaya masalah itu dapat diselesaikan dengan baik.

Janji itu dibuat pada Januari tahun ini tetapi hingga sekarang, cubaan Indira untuk bertemu Hamid untuk mendapatkan perkembangan terkini, tidak dilayan.

Bercakap kepada The Malaysian Insight di rumah keluarganya di Ipoh, Perak baru-baru ini, Indira berkata sejak perintah Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 untuk bekas suaminya memulangkan anak mereka, tidak ada perkembangan langsung dalam mendapatkan Prasana kembali.

“KPN kata beliau tahu di mana Prasana, tetapi sampai sekarang tidak ada apa yang berlaku.

“Beliau kata akan ada akhir yang gembira, tetapi kami masih menunggu perkara itu jadi kenyataan,” kata Indira, 47.

Indira Gandhi menunjukkan gambar Prasana ketika masih bayi dan mereka sekeluarga tidak pernah melihat gambar terkini Prasana. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Ogos, 2020.

Mogok lapar di Bukit Aman

Awal minggu ini, Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) menghantar surat kepada Hamid meminta beliau bertemu Indira atau mereka akan mengadakan mogok lapar di depan ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Indira berkata mereka beri tempoh hingga 31 Ogos untuk Hamid membalas surat itu, dan jika tiada respons, mereka akan meneruskan untuk mengadakan mogok lapar pada 11 September

“Kami harap sebelum hari merdeka, beliau akan balas. Pengerusi Ingat Arun Dorasamy dan saya akan turut serta mogok lapar itu.

“Mogok itu akan bermula 9 pagi hingga 5 petang.”

Indira berkata alasan mengadakan mogok itu ialah kerana mereka sudah cuba semua cara untuk mendapatkan kembali Prasana, tetapi tidak berjaya.

“Tidak ada maklumat terkini tentang Prasana, semuanya kini jadi tanda tanya.

“Saya tidak nampak cara lain selain mogok ini,” katanya.

Indira berharap tindakan ini, sekurang-kurangnya akan menghantar mesej kepada Hamid.

“Kami tidak mahu perjuangan 12 tahun untuk mendapatkan Prasana akan jadi sia-sia. Kami mahu dia tahu, dia ada ibu dan adik beradik yang menantinya.”

Indira berkata keluarga tidak ada sebarang gambar Prasana kecuali ketika dia masih bayi.

Indira, seorang bekas guru tadika, kini bekerja sebagai tutor di rumah. Selain Prasana, beliau mempunyai dua lagi anak.

Mereka tingal di sebuah rumah dua tingkat empat bilik, kira-kira 15 minit dari bandar Ipoh.

Rindu untuk kembali bersatu

Tevi Darsiny, 23, kakak Prasana berkata beliau masih ingat mendukung adik bongsunya itu sebelum dia dibawa pergi , 12 tahun lalu.

Kali terakhir melihat Prasana ketika di mahkamah dalam prosiding kes jagaan anak pada 2010.

“Dia berumur setahun setengah masa itu. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana rupa dia sekarang atau apa yang hendak saya cakap jika dapat bertemu kembali nanti.

“Saya mungkin hanya menangis dan memeluknya.”

Tevi berkata beliau kecewa kerana polis tidak bertindak mengikut perintah mahkamah. – 9 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen