Jangan usik Bukit Fraser, gesa penduduk


Alfian Z.M. Tahir

Bukit Fraser terletak di antara dua kawasan tanah tinggi di Pahang dan Selangor menjadi tumpuan peminat burung dari seluruh dunia.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Ogos, 2020

PEMBINAAN lebih banyak pusat peranginan di Bukit Fraser tidak semestinya akan membantu warga tempatan, kata penduduk selepas dua bangunan mercu tanda di kawasan itu dirobohkan bagi menberi laluan kepada pembinaan pusat peranginan dan spa 14 tingkat.

Penduduk memberitahu The Malaysian Insight bahawa pusat peranginan dan hotel yang sedia ada lengang tanpa pengunjung, kecuali pada cuti umum.

Mereka membantah pembinaan bangunan 180 bilik yang kini dibina pemaju swasta di kawasan lereng bukit, dan mengatakan ia akan merosakkan keunikan dan keindahan kawasan tanah tinggi itu.

Mereka turut meluahkan kebimbangan mengenai impak terhadap alam sekitar berpunca daripada pembinaan itu dan menggesa pihak berkuasa agar kekalkan kawasan itu. 

“Pusat peranginan dan hotel sudah ada, termasuk banglo yang boleh disewa oleh keluarga. Pusat peranginan dan hotel di sini kurang mendapat sambutan. Kebanyakan bilik tidak disewa.

“Jadi bagaimana pusat peranginan dengan 180 bilik akan menjana pendapatan kepada penduduk tempatan apabila jelas kemudahan sedia ada pun tidak mendapat sambutan?” kata penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai “Pak Cik D”.

Pak Cik D enggan dinamakan kerana beliau masih berkhidmat di sebuah agensi negeri, namun beliau memberitau The Malaysian Insight beliau tidak menentang sebarang pembangunan, namun pembinaan bangunan 14 tingkat di Bukit Fraser adalah tidak sesuai.

“Bukit Fraser tidak seperti cameron Highlands atau Genting Highlands yang ada hiburan malamnya tersendiri.

Maybank Lodge yang akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan pusat peranginan 14 tingkat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Ogos, 2020

“Di sini, pada pukul 9 malam suasana sudah lengang. Bagaimana mahu tarik pelancong ke sini,” katanya.

Bukit Fraser terletak di antara dua kawasan tanah tinggi di Pahang dan Selangor, kira-kira dua jam dari Kuala Lumpur.

Ia dinamakan sempena nama peneroka dari Scotland, Louis James Fraser yang membuka lombong bijih timah pada 1890. 

Bulan lalu, sebuah rumah gaya Inggeris dibina pada tahun 1960 yang menjadi rumah penginapan Maybank dirobohkan bersama Jelai Resort, yang merupakan kawasan popular untuk memerhati burung. Kedua-dua bangunan berkenaan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan 14 tingkat. 

The Malaysian Insight cuba menghubungi pihak Tourism Pahang namun menurut jurucakapnya, tiada kenyataan akan dikeluarkan kerana perbincangan sedang diadakan antara penduduk, kumpulan aktivis alam sekitar Persatuan Alam dan Warisan Bukit Fraser (PAWBF), pemaju Ikhasas Group dan kerajaan negeri. 

Menurut PAWBF, penduduk tidak dimaklumkan mengenai pembinaan itu dan mereka mendakwa pembinaan bangunan 14 tingkat itu tiada kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar.

Setiausaha PAWBF Puteri Balqis Hairul Azman berkata sejak perobohan itu, pemaju belum meletakkan sebarang papan tanda menunjukkan kerja pembinaan atau butirannya.

“Tiada papan tanda menyatakan pembinaan sedang dijalankan. Mereka hanya bina pagar bagi menghalang orang ramai masuk ke kawasan itu. Kami tidak tahu bila projek itu dijangka siap.

“Penduduk tempatan tidak tahu apa yang sedang berlaku. Orang luar datang untuk melihat burung juga terkejut apabila tempat itu sudah tiada,” katanya.

Seorang lagi penduduk tempatan yang bekerja dengan kerajaan negeri Pahang berkata, ada yang bersetuju dengan pembinaan pusat peranginan itu, manakala yang lain turut merasakan ia akan menjejaskan perniagaan kecil yang dijalankan penduduk tempatan.

Jelai Resort sebelum ini pernah menjadi lokasi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong untuk memerhati burung. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2020

“Sebagai seorang yang dilahirkan dan membesar di sini, saya lihat pembangunan tidak banyak membantu kami. Saya merupakan generasi ketiga dari keluarga saya yang masih bekerja di sini di Bukit Fraser.

“Pelancong ada datang namun ia bukanlah destinasi pelancongan popular. Mereka yang datang sama ada sukakan alam sekitar atau hanya mahu menikmati suasana tenang dan damai.

“Sekiranya ada bangunan yang menyebabkan hutan dan haiwan di sini terjejas, siapa yang mahu datang ke sini. Apabila orang ramai mula tidak datang, apa yang akan berlaku pada pusat peranginan dan hotel kecil,” kata seorang penduduk yang enggan dinamakan.

Sementara itu, seorang penduduk Wan, 70 yang merupakan pemilik restoran masih teringat pekan kecil itu pernah dikenali sebagai “pekan Inggeris Malaysia”.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight dengan rumah gaya Inggeris dirobohkan dan pembinaan rumah kediaman moden, Bukit Fraser akan hilang keunikannya.

“45 tahun lalu ketika saya datang ke sini, saya perlu pakai dua tiga lapis baju kerana suasana sangat sejuk.

“Namun kini ia tidak seperti dulu, suasana semakin panas kerana banyak pokok ditebang.

“Bukit Fraser tidak lagi seperti dulu. Satu perkara yang unik di sini adalah rumah Inggeris lama atau pusat peranginan. Kini mereka robohkan bangunan lama untuk bina yang baharu yang tiada unsur sejarah.

“Tiada lagi suasana nyaman, tiada lagi identiti dan penduduk di sini tidak dapat apa-apa, hanya kenangan.” – 8 Ogos, 2020



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen