Polisi berasaskan kaum atasi ketaksamaan ekonomi bukan Melayu, kata badan pemikir


Sheridan Mahavera

Laporan Jabatan Perangkaan mendapati jurang pendapatan isi rumah antara golongan kaya dan miskin dalam komuniti Cina dan India makin melebar antara 2016 dan 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2020.

POLISI berasaskan kaum perlu untuk menangani masalah ketaksamaan yang semakin serius antara kumpulan etnik seperti Cina dan India, kata badan pemikir.

Pengurus program di Institut Kajian dan Pembangunan Polisi (IRDP) Ammar Atan berkata Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan mendapati jurang pendapatan isi rumah antara golongan kaya dan miskin dalam komuniti Cina dan India kian melebar antara 2016 dan 2019.

Hasil tinjauan bagaimanapun menunjukkan jurang pendapatan antara keluarga kaya dan miskin Bumiputera berkurangan dalam tempoh yang sama, kata Ammar.

Namun statistik tersebut bukan gambaran sebenar masyarakat Bumiputera kerana orang Melayu dirangkumkan bersama Bumiputera di Sabah dan Sarawak, menurutnya.

“Kita perlu lebih telus dalam terma yang mewakili Bumiputera kerana mereka dirangkumkan sekali,” kata Ammar menerusi webinar bertajuk “T20, miskin bandar dan masalah sosio-ekonomi” anjuran bersama IRDP dan usat Penyelidikan untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa) pada Khamis lalu.

“Timbul persoalan sama ada keadaan orang Melayu di Semenanjung jauh lebih baik berbanding Bumiputera lain atau komuniti lain. Dan apakah Bumiputera di Sabah dan Sarawak dipinggirkan berbanding orang Melayu.”

Menurut Ammar, perbandingan dalam tinjauan antara 2016 dan 2019 menunjukkan Pekali Gini berdasarkan pendapatan boleh guna meningkat dari 0.396 kepada 0.399 dalam komuniti Cina.

Pekali Gini adalah kaedah yang digunakan untuk mengukur ketaksamaan pendapatan. Nilai Pekali Gini berada antara 0 dan 1, yang mana semakin kecil nilainya bermakna semakin saksama agihan pendapatan. 

Bagi komuniti India, nilai Pekali Gini naik dari 0.372 pada 2016 kepada 0.399 pada 2019, manakala Pekali Gini bagi Bumiputera meningkat dari 0.380 kepada 0.37.

“Kita selalu dengar masalah dalam kalangan orang Melayu, tetapi ini juga menunjukkan bahawa ketaksamaan juga berlaku dalam kalangan orang Cina dan India.

“Ini bermakna kita perlukan polisi berasaskan lokaliti seperti bandar dan luar bandar dan juga yang menyasarkan kumpulan etnik. Tanpa polisi seperti ini, nilai pekali dalam kalangan etnik Cina dan India akan menjadi lebih serius kepada 0.4.”

Kata Ammar lagi, secara keseluruhan Pekali Gini bagi semua isi rumah meningkat dari 0.399 pada 2016 kepada lebih 0.4 pada 2019.

“Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pekali lebih 0.4 adalah tidak sihat.” – 8 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen