Kes Guan Eng bermotifkan politik, kata Dr Mahathir


Kamles Kumar

Dr Mahathir Mohamad percaya kes Lim Guan Eng bermotifkan politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Ogos, 2020.

PENDAKWAAN rasuah ke atas bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bermotifkan politik, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, pihak berkuasa perlu bertindak adil kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan mereka.

“Kami cenderung untuk fikir begitu (bermotif politik),” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah ahli Parlimen Langkawi itu lagi, kerajaan tidak boleh mendiskriminasikan Lim hanya kerana beliau adalah pemimpin pembangkang.

“Beliau sudah didakwa. Beliau masih belum dibicarakan atau disabitkan bersalah. Layanan perlu sama rata kepada semua orang. Diskriminasi seperti itu tidak berasas,” kata Dr Mahathir.

Pagi tadi, Lim mengaku tidak bersalah meminta rasuah dalam bentuk 10% keuntungan projek lebuh raya dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Lim dituduh melakukan kesalahan itu pada Mac 2011 di The Garderns Hotel, Mid Valley, Kuala Lumpur ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Beliau akan berdepan lebih banyak pertuduhan pada Isnin dan Selasa depan berkaitan projek terowong dan banglownya di Pulau Pinang. – 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen