Guan Eng mengaku tak bersalah minta suapan 10% projek terowong


Kalidevi Mogan Kumarappa Ravin Palanisamy

Lim Guan didakwa berbuat demikian untuk upah bantu syarikat laksana projek jalan dan terowong Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Ogos, 2020.

BEKAS menteri kewangan Lim Guan Eng meminta dibicarakan atas tuduhan meminta suapan 10% daripada keuntungan sebuah syarikat bagi projek jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu pada Mac 2011 di satu lokasi berhampiran sebuah hotel di Mid Valley sewaktu menjawat jawatan ketua menteri Pulau Pinang.

Ia berkaitan dengan projek terowong bawah laut dianggarkan bernilai RM6.3 bilion.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu, Lim didakwa meminta suapan tersebut dari pemilik syarikat bernama Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

“Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul yang dilantik untuk melaksanakan projek berkenaan,” kata jurubahasa ketika membaca pertuduhan dalam Bahasa Melayu.

Lim dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sekiranya sabit kesalahan, Lim boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut jumlah lebih tinggi.

Pertuduhan tidak menyebut tarikh khusus jenayah yang didakwa dilakukan, dan tidak juga menyebut jumlah suapan yang diminta oleh Lim.

Pendakwaan yang diketuai Wan Shaharudin Wan Ladin seterusnya meminta Hakim Azura Alwi menetapkan jaminan RM2 juta.

Mahkamah seterusnya menetapkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin, dan sejumlah RM500 dijelaskan pada hari ini dan bakinya pada Isnin.

Mahkamah juga mengarahkan Lim menyerahkan pasport antarabangsa dan juga pasport diplomatik manakala sebutan kes ditetapkan berlangsung pada 9 September.

Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh, yang masing-masing merupakan pemimpin kanan DAP.

Lim yang juga setiausaha agung DAP ditahan di lokap SPRM semalaman selepas ditangkap dan disiasat sejak semalam.

Kira-kira 100 penyokong Lim turut hadir di luar bangunan mahkamah termasuk bapanya Lim Kit Siang, penasihat DAP.

Turut hadir, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, bekas menteri sumber manusia, M Kulasegaran dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun. – 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen