BEKAS Menteri Kewangan Lim Guan Eng menegaskan tuduhan rasuah ke atasnya hari ini bermotif politik kerana beliau tidak pernah menerima sebarang suapan.
Katanya, agensi antirasuah tidak mempunyai bukti beliau memiliki wang berbilion ringgit daripada suapan berhubung projek jalan utama dan terowong Pulau Pinang itu.
Malah beliau tidak pernah diminta untuk menunjukkan baki dalam bank atau wang tunai yang boleh dikaitkan dengan rasuah ketika siasatan, katanya selepas membayar jaminan mahkamah.
“Projek yang dikaitkan dengan diri saya juga diberikan secara tender terbuka dan bukannya secara langsung.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah menerima sebarang suapan dan ini pun tidak ditanya oleh SPRM, mana suapan saya.
“Dia tidak pernah tanya mana suapan saya sama ada dalam bentuk wang tunai ataupun dalam akaun bank saya,” katanya kepada pemberita.
Katanya, pendakwaan tidak mempunyai bukti beliau memiliki wang berbilion ringgit dalam akaun banknya.
“Itulah sebabnya saya akan lawan pertuduhan rasuah ini yang saya rasa bermotif politik, tidak berasas dan untuk mencemarkan nama baik saya sebagai ahli politik pembangkang.
“Kita akan teruskan perjuangan bagi memastikan Malaysia lebih bersih dan lebih adil,” kata bekas ketua menteri Pulau Pinang itu lagi.
Terdahulu, Lim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah berupa 10 peratus daripada keuntungan projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.
Menurut pendakwaan, Guan Eng melakukan kesalahan itu pada Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Mid Valley ketika menjawat jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang.
Pertuduhan tidak menyebut tarikh khusus jenayah yang didakwa dilakukan, dan tidak juga menyebut jumlah suapan yang diminta oleh Lim.
Tuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Guan Eng kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM1 juta dengan dua penjamin. – 7 Ogos, 2020.
Komen