ISTERI dan adik Lim Guan Eng tampil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan sebaik bekas menteri kewangan itu dihadapkan ke mahkamah untuk tuduhan kes rasuah.
Isteri Guan Eng, Betty Chew merupakan bekas Adun Kota Laksamana manakala adiknya, Lim Hui Ying merupakan setiausaha DAP Pulau Pinang.
Kedua-duanya tiba di pejabat SPRM Pulau Pinang pada kira-kira jam 10.45 pagi.
“Mereka dipanggil memberi keterangan bagi membantu satu siasatan di negeri ini,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Dua wanita itu hadir bersama peguambela masing-masing.
Tidak lama sebelum itu, Guan Eng yang ditahan semalaman oleh SPRM dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta rasuah
Beliau dituduh meminta suapan 10% daripada keuntungan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.
Menurut pendakwaan, Lim melakukan kesalahan itu pada Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Mid Valley ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
Lim didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. – 7 Ogos, 2020.
Komen