AHLI Parlimen Bagan Lim Guan Eng ditahan malam ini dan akan didakwa esok berkaitan tuduhan rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Bekas menteri kewangan itu akan didakwa pagi esok di Kuala Lumpur, beliau juga akan didakwa di Pulau Pinang pada pagi Isnin depan, kata SPRM dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.
Selain itu, Lim juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada pagi Selasa depan bagi pertuduhan kes lain.
Bagi pendakwaan esok pagi, Lim akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, Kuala Lumpur di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Seksyen itu meliputi kes meminta atau menerima rasuah.
Pada pagi Isnin depan pula, beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana kesalahan menggunakan jawatan untuk suapan pegawai badan awam.
Beliau juga berdepan pertuduhan seksyen sama pada Selasa depan berkaitan kes lain. SPRM bagaimanapun tidak mendedahkan kesalahan berkaitan pertuduhan ini.
SPRM berkata agensi itu sudah mendapat kebenaran Peguam Negara untuk mengenakan pendakwaan ke atas Lim, pemimpin kanan Pakatan Harapan.
Lim tiba di SPRM pada jam 9.10 malam ini. Sumber SPRM berkata Lim ditahan pada jam 9.30 malam.
Beliau akan dibawa ke mahkamah dari lokap SPRM pagi esok.
Beliau sebelum ini sudah tiga kali disoal siasat SPRM berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Sesi soal siasat terakhirnya berlaku hujung Julai lalu, berjalan selama lapan jam.
Awal bulan lalu SPRM telah merakam kenyataan daripada Chow Kon Yeow yang menggantikan Lim sebagai ketua menteri Pulau Pinang.
Tuduhan rasuah mengenai projek tersebut pertama kali dilbangkitkan oleh blogger Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang juga merupakan bekas ahli PKR.
Pada Februari dan Mac tahun lalu beliau menuduh ketua menteri Pulau Pinang, Lim dan exco negeri, turut serta dalam “kerjasama jenayah” dan menerima sogokan berkaitan dengan projek itu.
Exco yang telah disoal oleh SPRM adalah Jagdeep Singh Deo, yang memegang portfolio kerajaan tempatan, Chong Eng (pembangunan wanita dan keluarga), Phee Boon Poh (masyarakat dan kebajikan) dan Lim Hock Seng (kerja, utiliti dan pengangkutan). – 6 Ogos, 2020.
Komen