Tak ada pilihan raya PBT di bawah Perikatan, kata Zuraida


Chan Kok Leong

KERAJAAN Perikatan Nasional tidak akan mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kata Zuraida Kamaruddin.

“Cadangan anda sangat baik dan ini adalah beberapa langkah kecil yang akan dilakukan oleh PBT untuk menyemarakkan lagi sistem demokrasi, kerana kerajaan Perikatan Nasional tidak akan mengadakan pemilihan PBT,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat hari ini.

“Kerajaan PN tidak akan laksanakan pilihan raya PBT yang saya juga melihat ia sebagai satu perkara drastik. Masyarakat dan PBT kita masih tidak bersedia untuk melaksanakannya,” katanya.

Zuraida berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hasan Arifin yang bertanyakan sama ada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersedia menjemput komuniti atau persatuan tertentu menghadiri mesyuarat PBT sebagai pemerhati. 

Terdahulu Zuraida berkata tidak semua mesyuarat PBT terbuka untuk umum kerana mereka tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi seperti tempat yang sesuai atau kemampuan video.

Beliau berkata PBT juga berdepan masalah kewangan kerana mereka tidak menaikkan kadar cukai taksiran mereka sejak 1980-an.

Ini berbeza dengan apa yang diberitahu oleh Zuraida di Parlimen pada 13 Julai. 

Menteri itu memberitahu Parlimen bahawa pilihan raya PBT akan menelan belanja sekitar RM2 juta setiap PBT dan kajian masih berjalan.

Tetapi kemudiannya Zuraida dikritik oleh Noh Omar (Tg Karang-BN) Umno mengenai apa yang telah dia katakan.

“PAS dan Umno Selangor tolak pilihan raya PBT. Ini manifesto siapa? Ini manifesto PH.

“Menteri juga katakan Langkawi (Dr Mahathir) tak bersetuju. Kalau perdana menteri PH dulu tak setuju kenapa nak bawa lagi?

“Tolonglah. Buat pengumuman kerajaan PN batalkan hasrat adakan pilihan raya PBT,” kata Noh.

Zuraida juga adalah menteri KPKT ketika era pentadbiran PH dan dilantik memegang portfolio sama dalam pentadbiran PN.

Beliau adalah salah seorang daripada 20 Adun dan ahli Parlimen PKR diketuai Azmin Ali yang keluar parti untuk membentuk kerajaan PN bersama-sama Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak, kumpulan Bersatu setia kepada Muhyiddin Yassin dan beberapa wakil rakyat Sabah.

Ketika era pentadbiran PH, Zuraida berjanji yang pilihan raya PBT akan diadakan dalam tempoh tiga tahun lagi dengan pelaksanaan berperingkat di Selangor dan Pulau Pinang. – 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen