Muafakat Nasional, GPS tolak pilihan raya PBT


Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Noh Omar berkata wakil rakyat Muafakat Nasional bersama GPS tolak pilihan raya PBT diadakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

AHLI Parlimen Muafakat Nasional (MN) bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) sepakat menolak pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dilaksanakan.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Noh Omar (Tanjung Karang-BN) ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

“Cadangan pilihan raya PBT ini cadangan Pakatan Harapan (PH), bukan Perikatan Nasional (PN). PAS jelas, Umno pun tak nak,” kata Noh.

Ahli Parlimen Nik Mohamad Zawawi Salleh (Pasir Putih-PAS) kemudian turut bangun dan menyatakan bantahannya.

“PAS tegas pilihan raya PBT kita akan tolak,” kata Nik Mohamad Zawawi.

Ahli Parlimen Willie Mongin (Puncak Borneo-Bersatu) turut membantah.

“GPS campur Puncak Borneo turut bantah,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin semalam berkata kementeriannya menyasarkan usul berkaitan pilihan raya PBT akan dibawa ke Dewan Rakyat tahun depan.

Katanya, kementerian berkenaan juga masih sedang menyediakan kertas Kabinet dan membentuk dua jawatankuasa sejak 2018.

“Jawatankuasa operasi yang dianggotai badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua-ketua masyarakat akan melihat penyediaan kertas daripada aspek kajian persepsi rakyat.

“Kita juga akan menjalankan kajian untuk kawasan PBT yang agak bersedia sedikit terutama di Selangor dan Pulau Pinang yang mana telah benarkan pilihan raya kerajaan tempatan di peringkat negeri masing-masing.

“Ini semua dalam perancangan KPKT dan insya Allah elemen dalam model pilihan raya juga sedang dikaji dari beberapa negara luar. Kita akan cari yang terbaik dan sesuai di Malaysia,” katanya.

Zuraida berkata demikian ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Pilihan raya PBT itu katanya dijangka menelan belanja RM2 juta bagi setiap PBT dan RM308 juta secara keseluruhan yang merangkumi 154 PBT.

Zuraida juga mengesahkan ketika berada dalam barisan Kabinet PH sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri waktu itu tidak bersetuju dengan cadangan kementeriannya.

Noh dalam perbahasannya mengingatkan ahli Kabinet PN agar tidak lagi berpegang kepada manifesto parti terdahulu mereka, sama ada dari PH mahupun Barisan Nasional (BN).

Katanya, pada era pentadbiran PN, barisan Kabinet harus fokus kepada pentadbiran sedia ada yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“PAS dan Umno Selangor tolak pilihan raya PBT. Ini manifesto siapa? Ini manifesto PH.

“Menteri juga katakan Langkawi (Dr Mahathir) tak bersetuju. Kalau perdana menteri PH dulu tak setuju kenapa nak bawa lagi?

“Tolonglah. Buat pengumuman kerajaan PN batalkan hasrat adakan pilihan raya PBT,” kata Noh. – 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen