Buru orang tengah skandal hartanah Mara, desak Teresa


The Malaysian Insight

Skandal hartanah di Australia melibatkan penjualan kompleks pangsapuri jutaan dolar yang dikenali sebagai Dudley House di Melbourne kepada Mara Inc Sdn Bhd. – Gambar Twitter, 6 Ogos, 2020.

ORANG tengah yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia perlu diburu dan disiasat, kata seorang ahli Parlimen DAP hari ini.

Pihak berkuasa Australia mendakwa Boon Lye Teen memberi rasuah kepada pegawai Malaysia, kata Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Skandal itu melibatkan penjualan kompleks pangsapuri jutaan dolar yang dikenali sebagai Dudley House di Melbourne kepada Mara Inc Sdn Bhd.

Akhbar Australia, The Age dan Sydney Morning Herald mendedahkan skandal itu pada 2013.

Pihak berkuasa Australia berkata dua “orang tengah” rakyat Malaysia didakwa menerima atau dijanjikan RM14.25 juta sebagai rasuah, kata Kok.

“Tidak sukar bagi pihak berkuasa Malaysia untuk mengesan dua orang tengah ini,” kata Kok, sambil menambah pihak berkuasa Australia sudah menamakannya dalam dokumen mahkamah rasmi.

Boon didakwa pada 9 Julai dengan empat tuduhan memalsukan dokumen berkaitan penjualan hartanah tersebut serta memberi rasuah kepada pegawai Malaysia.

Lima tahun lalu, The Age dan The Sydney Morning Herald melaporkan harga hartanah tersebut meningkat sebanyak A$4,75 juta (RM14,25 juta) bagi memberikan sogokan kepada sekumpulan pegawai Malaysia.

Menurut dokumen yang difailkan di mahkamah majistret Melbourne, didakwa harga penjualan disepakati untuk hartanah itu adalah A$17.85 juta.

Tetapi ia kemudian dijual dengan harga A$22.6 juta dengan A$4.75 juta dibayar kepada pegawai Malaysia.

Pada Mac 2016, ketua Mara ketika itu, Annuar Musa menyerahkan dokumen berkaitan pembelian hartanah itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setahun kemudian pada November 2017, menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata SPRM hampir selesai dengan penyiasatan dan agensi itu sedang menunggu laporan daripada pihak berkuasa Australia mengenai transaksi tersebut.

“Namun, empat tahun kemudian, SPRM tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai Malaysia yang disebut dalam transaksi itu,” kata Kok.

“Memandangkan perdana menteri Perikatan Nasional (PN) berulang kali berkata pemerintah PN serius menghapuskan rasuah di negara ini, sudah saatnya membuktikan apa yang dikata dengan mengambil tindakan terhadap pegawai Malaysia yang terlibat dalam skandal itu.” – 6 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen