Usahawan gesa Mara jangan hentikan bantuan


Mohd Farhan Darwis

Pengasas Pusat Rawatan Kesihatan Sari Cantik Ibu Norazilawati Muhammad antara yang berjaya kerana program Mara. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Januari, 2020.

USAHAWAN Bumiputera yang menikmati manfaat daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) berharap rancangan agensi itu untuk menutup cabang perniagaannya, Mara Corporation, tidak menjejaskan skim bantuan dan bimbingan kepada mereka selama ini.

Mereka berharap Mara terus memainkan peranannya membantu melahirkan lebih ramai usahawan baharu Bumiputera dalam sektor perniagaan.

Selain pembiayaan, mereka juga berharap Mara akan terus membantu menyediakan tapak untuk usahawan berkembang serta menganjurkan latihan dan menghubungkan mereka dengan pasaran yang berpotensi untuk memasarkan produk masing-masing.

“Mara banyak membantu saya dalam perniagaan. Sejak saya mula mengikuti kursus yang mereka anjurkan, saya diajar untuk menjadi lebih kuat dalam perniagaan.

“Kami juga diajar teknik perniagaan yang berkesan melalui kursus-kursus yang dianjurkan, semuanya percuma,” kata Norazilawati Muhammad, 56.

Pengasas Pusat Rawatan Kesihatan Sari Cantik Ibu itu mula menyertai kursus Latihan Pembentukan Usahawan selama 10 hari pada 2010.

Sejak itu, Norazilawati, yang lebih dikenali sebagai Dilla berkata, beliau kerap hadir ke kursus anjuran Mara bagi mendalami ilmu perniagaan.

“Tanpa bantuan Mara saya tidak akan berada di sini. Bantuan dan bimbingan daripada Mara yang mampu menaikkan taraf hidup saya sehingga ke hari ini,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Perniagaan Dilla kini beroperasi di Medan Mara, yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, dengan kadar sewa RM1,272 sebulan, sejak 2013 lalu.

Usahawan wanita Bumiputera antara yang banyak mendapat peluang menaikkan taraf hidup keluarga kerana Mara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2020.

Beliau mengusahakan perniagaan rawatan kecantikan untuk kaum Hawa, di samping mengeluarkan enam produk penjagaan kesihatan jenama SCI.

“Tetapi kita kena ada disiplin… sewa premis kita kena bayar, walaupun kita tiada gaji atau pendapatan kurang, pastikan sewa dibayar dahulu.

“Kalau kita mahu berjaya kita perlu ada keunikan, baru kita mampu bersaing dengan orang lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mara juga kata Dilla membantu perniagaannya mendapat status halal untuk produk keluarannya, selain bimbingan menguruskan akaun syarikat.

“Mara banyak membantu dari segi latihan, khidmat nasihat dan bimbingan perniagaan, tetapi saya tidak pernah membuat pinjaman dengan Mara.

“Sebab daripada ilmu yang saya dapat saya usahakan perniagaan sehingga berjaya dan gunakan hasil pendapatan untuk terus maju,” katanya lagi.

Pada 2019, namanya turut tersenarai di dalam buku “Mereka yang Berjaya di Malaysia” keluaran oleh Britishpedia.

Ramai usahawan Bumiputera khususnya Melayu mendapat manfaat daripada program usahawan anjuran Mara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2020.

Awal bulan ini, Pengerusi Mara Hasnita Hashim dilaporkan memberi bayangan agensi itu akan menutup cabang perniagaan dan pelaburannya melalui sepucuk surat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang dilantik menerajui Mara sejak September lalu berkata agensi itu tidak pernah diniatkan untuk jadi entiti perniagaan dan tidak diberikan dana untuk berniaga.

Sebaliknya Mara menggunakan dana yang dikutip daripada pinjaman pelajaran dan perniagaan untuk dilaburkan semula, katanya.

Dalam surat itu, Hasnita berkata Mara akan memberi tumpuan kepada sektor pendidikan, pembangunan usahawan, dan akan melepaskan pelaburannya dalam aktiviti perniagaan.

Sementara itu, seorang lagi usahawan Dzu Hendra Ja Jahruddin, 35, juga berharap Mara tidak menghentikan usaha mereka membimbing usahawan Bumiputera.

Pemilik perniagaan berasaskan madu kelukut itu berkata, pengalamannya bersama Mara menunjukkan agensi itu bersungguh-sungguh mahu usahawan memajukan perniagaan mereka.

“Kita nampak usaha Mara, memang mereka betul-betul memberikan bimbingan kepada usahawan,” katanya, yang beroperasi di Slim River, Perak.

Pengerusi Mara Hasnita Hashim dilaporkan memberi bayangan agensi itu akan menutup cabang perniagaan dan pelaburannya melalui sepucuk surat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2020.

Hendra diberikan tapak di Medan Mara Slim River, sejak empat tahun lalu, dan diberikan bimbingan perniagaan berterusan, sebaik sahaja beliau menamatkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pemegang ijazah sarjana dalam bidang komputer itu memulakan perniagaan berasaskan madu kelukut sebaik sahaja tamat pengajian.

“Selain bimbingan perniagaan yang diberikan melalui kursus-kursus, Mara juga menjadi jambatan kepada usahawan dengan pembeli berpotensi.

“Saya juga pernah menyertai satu program yang turut dihadiri syarikat daripada Jepun, itu peluang untuk kita kenalkan produk dan kalau ada rezeki, mereka beli produk kita,” katanya.

Selain itu katanya, Mara juga akan menjemput usahawan-usahawan di bawahnya menghadiri acara tertentu dengan menyediakan tapak jualan.

“Mara sediakan medium untuk usahawan berniaga tetapi kaedah pemasaran dan jualan usahawan perlu laksanakan sendiri.

“Sememangnya usaha Mara majukan industri kecil dan sederhana ini perlu diteruskan. Banyak perniagaan-pernigaan di kampung ini yang tidak tahu bagaimana nak memasarkan produk mereka.

“Sama ada usahawan itu berjaya atau gagal terpulang kepada usaha masing-masing tetapi yang penting peluang itu disediakan,” katanya.

Hendra juga berkata beliau memulakan perniagaan tanpa pembiayaan Mara sebaliknya menggunakan modal sendiri.

“Saya tidak ambil pinjaman Mara tetapi mereka sediakan tapak berniaga dengan kadar sewa RM200 sebulan, dan bimbingan untuk usahawan berniaga,” katanya lagi.– 17 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen